KOLEJ KEDIAMAN KAMPUS PAGOH UTHM DIIKTIRAF PENGANJUR KEMPEN DERMA DARAH PALING KOMITED


Timbalan Pengetua 1 KKKP, Dr. Mohd Faisal Hushim, berkata pengiktirafan itu secara langsung mendorong KKKP untuk memastikan stok darah sentiasa dalam keadaan optimum. | Foto ihsan UTHM

 

ISKANDAR PUTERI –– Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diiktiraf sebagai Penganjur Kempen Derma Darah Paling Komited peringkat kebangsaan buat kali kedua berturut-turut.

 

Pengiktirafan itu diterima sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 dan Ulang Tahun Ke-75 Bulan Sabit Merah (BSM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 18 Jun lalu.

 

Timbalan Pengetua 1 KKKP, Dr. Mohd Faisal Hushim, berkata pengiktirafan itu secara langsung mendorong KKKP untuk memastikan stok darah sentiasa dalam keadaan optimum.

 

“Pihak KKKP dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar meletakkan sasaran sekurangnya satu kali program dijalankan setiap bulan dengan sasaran kutipan beg darah tidak kurang daripada 500 beg setahun.

 

“Selari dengan tema sambutan tahun ini, ‘Derma Darah, Derma Plasma, Derma Berterusan, Demi Kehidupan’, pihak kami akan terus komited selaku penganjur untuk terus mengadakan kempen derma darah demi kebaikan dan kelangsungan para penerima darah,” katanya.

 

Tambah Faisal, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak HPSF bagi menjayakan program derma darah di Negeri Johor.

 

“Selain pengiktirafan peringkat kebangsaan, KKKP juga diiktiraf di peringkat Negeri Johor sebagai penganjur kempen derma darah dengan kutipan paling tinggi pada tahun lalu.

 

“Pihak KKKP telah berkerjasama rapat dengan Unit Perubatan Tranfusi HPSF Muar bagi menjayakan program derma darah yang bertempat di kawasan kolej kediaman UTHM,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor