KOMITED MENJADIKAN JOHOR DESTINASI PILIHAN UTAMA PELABUR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri terus berusaha memastikan Johor kekal menjadi destinasi pilihan utama pelabur menerusi pendekatan tadbir urus terbaik serta polisi mesra perniagaan dan pelabur.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri juga akan berusaha menarik lebih ramai pelabur berimpak tinggi terutama dalam bidang pembangunan pusat data, Revolusi Industri 4.0, perkhidmatan perniagaan global, pelancongan, pembuatan, petrokimia, minyak dan gas serta sekuriti makanan.

“Johor Economic, Tourism and Cultural Office (JETCO) yang juga merupakan cetusan Yang Berhormat Benut akan terus diperkasakan dengan kerjasama Invest Johor dan juga agensi-agensi persekutuan seperti MIDA, MITI dan IRDA,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan dengan pelabur-pelabur dari Singapura, China, Amerika Syarikat, Korea, Jepun, Jerman, United Kingdom, Australia, Belanda dan dari dalam negara.

“Alhamdulillah kesemua pelabur-pelabur ini mengakui bahawa Johor merupakan destinasi yang strategik dan kondusif untuk mereka menaruh keyakinan serta melakukan pelaburan,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, usaha berterusan untuk melaksanakan program upskilling dan reskilling bagi kumpulan pekerja separa dan kurang mahir akan turut dilaksana serta diperkukuhkan.

Antara contoh program peningkatan kemahiran yang dirangka adalah Program Latihan Keamhiran Johor (PRO-MAHIR), Iskandar Malaysia Sustainable Toursim Upskilling & Reskilling (IMSTATURE); Perantis Iskandar serta Program Skills in Oil and Gas (SOGA) dan Bridging Gaps.

“Selain itu, pengoperasian Hab Skills Johor pada tahun hadapan serta pembukaan Sankyu Technical Academy juga akan menjadi katalis kepada penyediaan modal insan bagi menepati kehendak pasaran dalam konteks pembangunan kemahiran TVET.

“Sebagai tambahan, Jawatankuasa Induk Modal Insan yang telah ditubuhkan juga akan menangani perkara ketidaksepadanan kemahiran pekerja dan graduan tempatan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor