KERAJAAN JOHOR SETUJU MENAIKKAN ELAUN KETUA KAMPUNG, KETUA MASYARAKAT


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor bersetuju menaikkan elaun Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat sebanyak RM300 iaitu daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kenaikan tersebut sebagai menghargai kepimpinan dan peranan institusi akar umbi itu.

“Disamping itu, kerajaan negeri juga berharap agar Kerajaan Persekutuan akan turut menyambut baik inisiatif murni ini, seterusnya menambah sekurang-kurangnya RM300 lagi bagi menjadikan elaun ketua kampung dan ketua masyarakat meningkat kepada RM1,500 sebulan,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Selain itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan mengkaji dan mempertimbangkan cadangan berkaitan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setelah keadaan ekonomi pulih dan hasil negeri meningkat.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, saya yakin dan percaya rakan-rakan Ahli Yang Berhormat memahami dan bersetuju untuk kita memberikan keutamaan kepada rakyat terlebih dahulu buat masa ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor