INISIATIF RANCAKKAN SEKTOR PERTANIAN BAGI MENINGKATKAN PRODUKTIVITI


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelbagai inisiatif dan insentif akan disediakan bagi merancakkan lagi sektor pertanian dalam usaha meningkatkan produktiviti sejajar dengan usaha menjadikan Johor sebagai Food Basket kepada Malaysia dan Food Bank kepada negara serantau.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri mensasarkan peningkatan bagi lima tahun ke hadapan dengan pertambahan pengeluaran bagi setiap industri tanaman makanan utama.

“Pertama, pengeluaran industri buah-buahan seperti tembikai, betik dan pisang akan ditingkatkan sebanyak 32.46 peratus dengan pengeluaran berjumlah 948,535 metrik tan. Kedua, pengeluaran industri sayur-sayuran seperti bendi, timun dan cili akan ditingkatkan sebanyak 32.87 peratus dengan pengeluaran berjumlah 181,807 metrik tan.

“Ketiga, meningkatkan hasil perikanan akuakultur sebanyak 62 peratus dengan peningkatan produktiviti hasil berjumlah 38,783 metrik tan. Keempat, peningkatan industri tenakan ruminan sebanyak 22.4 peratus dengan pengeluaran berjumlah 187,935 ekor.

“Kelima, peningkatan pengeluaran tenusu sebanyak 88 peratus dengan pengeluaran berjumlah 17 juta liter,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutan juga mensasarkan untuk membangunkan sebuah Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pengedaran (CPPDC) di Desaru.

Ujar beliau, inisiatif yang turut melibatkan pemerkasaan enam Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) adalah bagi menyokong inisiatif untuk meningkatkan produktiviti hasil pertanian.

“Daerah yang terlibat adalah pertama, PPK Batu Anam di Segamat; kedua, PPK Sri Medan dan PPK Parit Sulong di Batu Pahat; PPK Pengerang di Kota Tinggi serta keempat, PPK Bukit Gambir dan PPK Ledang di Tangkak,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor