KOPERASI MRSM JB JADI KOPERASI SEKOLAH PERTAMA GUNA SISTEM PINTAR DI JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah merasmikan Koperasi Smarts Sistem di MRSM JB di Bandar Seri Alam dekat Pasir Gudang, baru-baru ini. | Foto ihsan FB Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Koperasi Maktab Rendah Sains Mara Johor Bahru (MRSM JB) di Bandar Seri Alam menjadi koperasi sekolah pertama yang menggunakan sistem pintar di Negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah, berkata penggunaan sistem pintar itu menjadi satu usaha ke arah pendigitalan bagi pengurusan kewangan di koperasi sekolah berasrama penuh berkenaan.

“Sistem pintar ini adalah satu usaha ke arah pendigitalan pengurusan kewangan ataupun ‘cashless’ yang sememangnya menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) saya selaku Exco Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.

“Sistem pintar yang dibangunkan dengan kerjasama Mondo Sdn. Bhd selaku penyedia teknologi pintar ini juga berkesan di dalam aspek tenaga kerja kerana kedai koperasi ini tidak memerlukan pekerja untuk beroperasi kecuali pada masa tertentu,” katanya di laman Facebook rasminya.

Terdahulu, Mohd Hairi merasmikan Koperasi Smarts Sistem di MRSM JB di Bandar Seri Alam dekat Pasir Gudang, baru-baru ini.

Beliau turut mengumumkan berita gembira Geran Pembangunan Koperasi bernilai RM50,000 kepada Koperasi MRSM JB bagi menambah baik pengoperasian koperasi tersebut kelak.

“Ternyata, inovasi yang dilakukan oleh pihak Koperasi MRSM JB perlu diperluaskan bukan sahaja kepada sekolah-sekolah sekitar Johor dan seluruh negara, bahkan juga kepada kedai-kedai koperasi yang ada di dalam negara khususnya di Negeri Johor,” tambahnya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor