KOPERASI MRSM JOHOR BAHRU BERHAD TERIMA GERAN COOP MAJU JOHOR 2023


Pengerusi MARA, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam lawatannya ke MRSM Johor Bahru dalam menyempurnakan penyampaian ‘mockup-cheque’ geran khas Bantuan Coop Maju Johor 2023. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menyampaikan geran Bantuan Coop Maju Johor 2023 kepada Koperasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Johor Bahru Berhad, pada Isnin.

 

Menyempurnakan penyampaian ‘mockup-cheque’ geran khas tersebut adalah Pengerusi MARA, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam lawatannya ke MRSM Johor Bahru.

 

Geran khas itu merupakan insentif diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah dalam lawatannya ke MRSM Johor Bahru pada Sabtu lalu.

 

Mohd Hairi berkata, sumbangan geran berkenaan diharap dapat melancarkan pengoperasian koperasi MRSM Johor Bahru Berhad yang berteraskan pendigitalan dengan pengurusan kewangan tanpa tunai.

 

“Diharapkan sumbangan geran ini dapat boleh memacu dan menjadikan operasi koperasi ini lebih baik serta memberi manfaat kepada anak-anak pelajar di sini, sekali gus menjayakan agenda pendigitalan perniagaan atau ‘cashless society’ di Johor,” katanya.

 

Terdahulu, beliau turut mengiringi Asyraf Wajdi melawat MRSM Johor Bahru dan melihat sendiri projek perintis koperasi sekolah pertama mengaplikasikan teknologi sistem pintar.

 

Geran khas Coop Maju Johor merupakan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi strategi Pembangunan Koperasi dalam Belanjawan Johor 2023 bagi memastikan koperasi di Johor mempunyai tadbir urus yang baik dan mematuhi perundangan koperasi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor