SWM ENVIRONMENT, UTHM GIAT PROMOSI KEMPEN #BEATPLASTICPOLLUTION


Sejak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Januari lalu, SWM Environment dan UTHM telah mengadakan pelbagai aktiviti secara kerjasama antaranya webinar, pameran, khidmat masyarakat serta taklimat kesedaran perkongsian ilmu. | FOTO IHSAN; SWM Environment Sdn Bhd

 

ISKANDAR PUTERI — SWM Environment bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mempergiatkan aktiviti kelestarian bagi memacu gaya hidup lestari dalam kalangan pelajar dan komuniti setempat serta membantu negara mencapai 40 peratus kadar kitar semula kebangsaan menjelang tahun 2025.

 

Antara usaha dilakukan adalah menyemarakkan promosi kempen #BeatPlasticPollution bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2023 yang menyasarkan 20 tan bahan kitar semula plastik untuk dikumpulkan sehingga akhir tahun ini.

 

Pensyarah Kanan UTHM, Ts. Dr. Roslinda Ali berkata, kempen berkenaan perlu diberikan sokongan dan perhatian sewajarnya bagi memelihara kelestarian alam sekitar.

 

“Melalui kempen yang diadakan ini, inisiatif kelestarian alam sekitar daripada semua pihak terhadap kepentingan amalan Pengasingan Sisa Di Punca (SAS), konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan Sifar Sampah perlu dipertingkatkan sebagai langkah meminimumkan penjanaan sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah.

 

“Melalui kitar semula khususnya plastik juga secara tidak langsung dapat mengurangkan penggunaan bahan mentah baru dan pengeluaran gas rumah hijau,” katanya.

 

SWM Environment dan UTHM menzahirkan harapan penganjuran kempen #BeatPlasticPollution sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2023 memberi impak positif kepada masyarakat dalam usaha memastikan kelestarian alam sekitar dipelihara dan kitar semula menjadi amalan dalam kehidupan.

 

Sejak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Januari lalu, SWM Environment dan UTHM telah mengadakan pelbagai aktiviti secara kerjasama antaranya webinar, pameran, khidmat masyarakat serta taklimat kesedaran perkongsian ilmu.

 

Malah kedua-dua belah pihak juga telah menganjurkan pertandingan Jelajah Sekolah Angkat Wira Lestari (JESAWIL) 2023 yang memfokuskan guna semula plastik untuk menghasilkan ecobrick melibatkan pelajar sekolah.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor