KOPITIAM ‘LEGEND’ ADA SIJIL HALAL
Oleh – Imran Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor
1. Sering menjadi persoalan bahkan perdebatan dalam kalangan umat Islam di negara ini berkenaan isu halal atau haram yang dibangkitkan apabila terkait dengan nama atau pemilik premis menyediakan makanan serta minuman adalah bukan Islam.
2. Bagi seorang Muslim, menjadi kewajiban dan fardu untuk mencari yang halal bukan sahaja melibatkan aspek makanan dan minuman sahaja, tetapi juga rezeki daripada pekerjaan dilakukan serta barangan keperluan harian diguna pakai dalam kehidupan.
3. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah : Ayat 168 yang bermaksud “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
4. Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke sebuah kopitiam terkenal di pusat bandar Johor Bahru pada 23 Januari lalu, turut menjadi polemik ‘halal atau haram’ di media sosial.
5. Dipercayai sudah beroperasi sejak tahun 1946 dan terkenal dengan sajian klasik mereka iaitu ‘Hainanese Chicken Chop’, Restoran Hui Mui terletak di Jalan Trus merupakan antara tarikan yang terdapat di bandar raya Johor Bahru.
6. Memiliki enam cawangan lain iaitu di Taman Sutera Utama, Taman Mount Austin, Taman Eko Botani, Bandar Seri Alam, Taman Anggerik Emas dan Bandar Indahpura, kopitiam ini dikunjungi pelbagai bangsa dan agama sekali gus boleh dianggap simbol perpaduan.
7. Melalui semakan dalam laman sesawang myehalal.halal.gov.my mendapati kopitiam milik syarikat Huamui (CK) Sdn. Bhd. ini merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
8. Selain itu, semakan juga menemui senarai 61 produk berdaftar atas nama syarikat meliputi acar, bakeri, kepak ayam, pengeluaran daging (lembu, ayam, kambing), pes dan serbuk makanan, sos serta snek hingga ‘side dish’ di Portal Halal Malaysia ini.
9. Pengesahan ini sudah pasti merungkai segala perselisihan pandangan apatah lagi SPHM dimiliki Huamui (CK) Sdn. Bhd. menjawab persoalan sama ada kopitiam ‘legend’ berusia lebih 70 tahun ini mempunyai sijil halal atau tidak.
10. Dalam era teknologi dan digitalisasi pada masa kini, bukanlah sukar untuk mencari jawapan bagi setiap persoalan yang membelenggu dalam fikiran dan kehidupan kerana maklumat kini boleh didapati di hujung jari.
11. Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Restoran Hua Mui untuk menikmati hidangan ‘Chicken Chop’ dan berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat jelata baru-baru ini adalah bersempena ulang tahun pemasyhuran Seri Paduka Baginda sebagai Sultan Johor pada 2010.
12. Melalui makanan dan minuman yang disajikan, Restoran Hua Mui sejak sekian lama menjadi cerminan kepada keharmonian dan kemuafakatan rakyat di Johor selari dengan ‘Semangat Bangsa Johor’ yang menjadi tunjang kepada keutuhan perpaduan di negeri ini.
Muafakat Itu Berkat.
Kepada Allah Berserah.
#RajaKitaSelamatBertakhta
#JohorMestiJadiJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor