KOPITIAM PENGERAT MUAFAKAT PENDUDUK MUAR
Oleh: Badrul Kamal Zakaria, Ariff Nasseem Murad, Farhanah Haziqah Noh, Suhana Mohd Arifin dan Farhan Khair
Sebut sahaja pasal kopitiam tiada apa yang terlalu istimewa selain apa yang terlintas hanyalah sebuah restoran biasa yang seringkali disinggah untuk meminum secangkir kopi bersama hidangan yang biasanya roti sekaya.
Namun siapa sangka, kopitiam atau kedai kopi ini bukan sekadar tempat menikmati kopi semata-mata tetapi pernah menjadi lokasi untuk berinteraksi sesama penduduk dan juga pusat hebahan setempat bagi komuniti tertentu seperti yang berlaku di daerah Muar suatu ketika dahulu.
Ini kerana lewat 1960-an hingga 1990-an, waktu itu kemajuan teknologi tidak secanggih sekarang di mana telefon pintar menjadi pengganti diri untuk berkomunikasi dengan sesiapa dan dimana juga sehinggakan segala maklumat sama ada sahih ataupun tidak boleh diperolehi daripada ponsel sebesar tapak tangan sahaja.
Ketua Kampung Parit Sakai, Ahmad Raof Kayat, berkata pada dekad berkenaan, kopitiam menjadi sebahagian daripada wadah Muafakat Bangsa Johor terutama membabitkan penduduk Muar kerana ia menjadi ‘port’ terbaik bagi kaum Melayu, Cina dan India untuk duduk bersama-sama.
“Di Muar sahaja terdapat lebih 20 kopitiam. Menariknya kopitiam ini menjadi lokasi tumpuan penduduk kerana menu dan harganya disediakan pada nilai ‘rahmah’ yang membolehkan sesiapa sahaja mampu untuk minum di sini. Saya sendiri mula menikmati sajian kopitiam ini sejak 1980-an atau lebih tepat ketika menuntut di Tingkatan Enam.
“Di sini boleh dikatakan semua lapisan masyarakat di Muar berkumpul, bercerita atau mendengar keluhan. Pada waktu itu, kita dapat banyak informasi setempat di kopitiam dan kita boleh temui kawan baharu di tempat seumpama ini tanpa mengira bangsa dan peringkat umur,” katanya kepada Media Digital Johor.
Ahmad Raof yang menjadi ketua masyarakat dari kawasan Bandar Maharani hingga ke Parit Besar berkata, sehingga kini terdapat lebih 20 kopitiam yang masih beroperasi di Bandar Muar dan ada daripadanya sudah melalui pelbagai zaman atau berdekad lamanya.
“Di sini juga kita dapat menikmati juadah bersama-sama. Seperti Kopitiam Tin Chip Mui ini, kita boleh nikmati sarapan pagi dengan roti, manakala pada tengah hari pula, sebuah gerai menjual nasi campur yang diusahkan oleh orang Melayu pula akan beroperasi sebelum minum petang dengan pelbagai jenis kopi,” katanya.
Bagaimanapun, keadaan kini sudah berubah bukan hanya disebabkan oleh penggunaan teknologi perhubungan yang lebih canggih tetapi juga persaingan daripada ‘cafe hipster’ dan juga francais makanan barat yang lain.
“Bagi saya sebagai orang yang agak ‘lama’ di Muar ini, saya sedikit sebanyak berasa khuatir kerana saya takut Muafakat Bangsa Johor ini sedikit-sedikit akan hilang daripada dalam diri anak bangsa masa kini termasuk di Muar ini. Ini kerana ‘muafakat’ itu perlu bermula dari peringkat bawah. Justeru, saya berharap gagasan ini akan dapat diteruskan oleh generasi akan datang sebagaimana yang pernah kami sendiri alami sedikit waktu yang lalu,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor