KOTA JAIL : PRODUK PELANCONGAN BAHARU DI JOHOR

Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Seiring dengan Tahun Melawat Johor 2026, Kerajaan Negeri menerusi Tourism Johor dengan kerjasama JOHO Group mengambil pendekatan proaktif untuk memperluaskan jenama Kota Jail sebagai destinasi pelancongan dan menjadikannya sebagai mercu tanda ‘placemaker’ yang ikonik di Johor.

 

Penjenamaan semula ‘Kota Jail’ yang dahulunya dikenali sebagai Penjara Ayer Molek akan menjadi antara nafas baharu kepada sektor pelancongan Negeri Johor, selain membolehkan warisan bersejarah ini dapat dihayati oleh masyarakat daripada pelbagai peringkat usia, sekali gus mampu menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa untuk berkunjung ke negeri ini.

 

Proses transformasi Kota Jail yang dilaksanakan oleh JOHO Group dijangka dapat menghidupkan lagi kepelbagaian tarikan yang terdapat di Bandar Raya Johor Bahru dan ia juga turut menjadi bukti kekuatan komuniti, dedikasi, kreativiti dan semangat kolaborasi bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

 

Pembangunan Kawasan Kota Jail ini juga akan menempatkan Galeri Penjara Ayer Molek, Galeri Seni Kebangsaan Ayer Molek, pameran budaya, ruang acara, kafe lokal, jualan produk kraf dan lokal serta kemudahan ruang sukan sebagai tarikan utama kepada para pengunjung.

 

Selain inisiatif Kota Jail ini, Kerajaan Johor turut merancang membuka beberapa lagi produk pelancongan lain sempena Tahun Melawat Johor 2026, antaranya ialah Taman Botani, Muzium Diraja Johor, Bangunan Sultan Ibrahim, Muzium Tokoh Johor dan beberapa lokasi lain yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini yang secara tidak langsung berupaya merancakkan lagi sektor pelancongan di Johor.

 

Terdahulu, YBhg. Encik Shahril Nizam Abdul Rahim, Pengarah Tourism Johor, diiringi Encik Zul Abas, Pengarah Operasi JOHO Group telah mengadakan sesi lawatan dan tinjauan ke Kota Jail dan sekitar kawasan bekas Penjara Ayer Molek, Johor Bahru hari ini.

 

#VisitJohor2026
#KotaJail
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor