KPJ HEALTHCARE METERAI KERJASAMA DENGAN TNB, GSPARX


Presiden & Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan (enam dari kiri) serta Ketua Pegawai Operasi TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan (tujuh dari kiri) dan Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri (empat dari kiri) bersama Ahli Pengurusan Kanan KPJ Healthcare Berhad dan TNB.

 

KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melakar pencapaian baharu apabila menjalin kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikatnya GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) untuk menjana penggunaan tenaga solar.

 

Langkah strategik itu diperkukuh dalam Perjanjian Bekalan Tenaga Diperbaharui (SARE) selama 20 tahun sekali gus menandakan keazaman KPJ Healthcare mempromosikan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan jejak karbonnya.

 

Perjanjian termeterai akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) atas bumbung di Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn; Hospital Pakar KPJ Johor; Hospital Pakar KPJ Kluang, Hospital Pakar KPJ Seremban dan Hospital Pakar KPJ Rawang.

 

Inisiatif proaktif itu sejajar dengan keperluan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga mampan alam sekitar dalam sektor penjagaan kesihatan. Perjanjian kerjasama dimeterai di Hospital KPJ Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru pada 17 November lalu.

 

Turut hadir, Presiden & Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan; Ketua Pegawai Operasi TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan; Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor