KETUA PENGIMBANG JOHOR BERI CADANGAN ISU KENAIKAN CUKAI TAKSIRAN


Kerajaan Negeri akan meneliti dan mempertimbangkan kaedah dan kadar terbaik supaya kenaikan kadar taksiran cukai harta itu tidak membebankan mana-mana pihak. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat dengan kenaikan kadar taksiran cukai harta berkuat kuasa 1 Januari 2024, disyorkan memperhalusi mekanisme kenaikan supaya kenaikan tersebut tidak membebankan rakyat.

 

Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng mengesyorkan perkara itu dalam ucapan perbahasannya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2024) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau turut mencadangkan kadar cukai untuk setiap kategori dilaraskan atau diturunkan agar kenaikan penilaian hartanah yang tinggi tidak mengakibatkan kenaikan cukai taksiran yang terlalu mendadak.

 

Selain itu, Ahli Dewan Negeri Kawasan Stulang itu juga mencadangkan sebarang kenaikan cukai taksiran yang dikenakan untuk setiap hartanah tidak boleh melebihi 15 peratus.

 

Dengan cadangan tersebut, Andrew berkeyakinan rakyat di lima PBT terbabit iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) boleh menerima kenaikan kadar taksiran cukai harta yang bakal dikenakan.

 

Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi menegaskan Kerajaan Negeri akan meneliti dan mempertimbangkan kaedah dan kadar terbaik supaya kenaikan kadar taksiran cukai harta itu tidak membebankan mana-mana pihak.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor