KPJBDOSH MENERAJUI BIDANG PERUBATAN NEUROSURGERI DI JOHOR
ISKANDAR PUTERI — Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn (KPJBDOSH) menjadi satu-satunya hospital pakar swasta di Johor memiliki perkhidmatan teknologi robotik ZEISS KINEVO 900 khusus bagi prosedur surgeri tumor otak.
Mesin surgeri tersebut merupakan peranti lengkap dengan keupayaan sistem visual yang menggabungkan mikroskop beresolusi visual 4K dan 3D selain disokong penuh fungsi robotik lebih maju, sekali gus menjadikan KPJBDOSH sebagai salah satu peneraju bidang perubatan neurosurgeri di negeri ini.
Pakar Bedah Neuro KPJBDOSH, Dr. Risdhawati Hassan berkata, penggunaan mesin itu dalam pembedahan dapat membantu meningkatkan kecekapan pembedahan khususnya bagi ‘tumor resection’ dan ‘cerebral vascular malformations’.
“Keupayaan pembedahan khususnya di bahagian otak dan tulang belakang dapat dipertingkatkan pada kadar lebih tinggi kerana Mesin Kinevo 900 ini mempunyai fungsi ‘integrated indocyanine green’ (ICG) yang tiada pada mesin-mesin lain.
“Fungsi itu adalah bagi membolehkan pakar bedah untuk melihat dengan jelas seluruh pemetaan salur darah yang begitu sesuai bagi mengesan peredaran darah,” katanya dalam satu kenyataan.
Risdhawati berkata, keberhasilan prosedur pembedahan khususnya bagi membuang tumor otak mempunyai peratusan tinggi menggunakan mesin itu kerana dilengkapi dengan mod penapis visual Yellow 560 yang boleh mengesan tumor.
Katanya lagi, surgeri menggunakan mesin itu juga dapat dilaksanakan dengan ketetapan lebih optimum serta kurang pergerakan dan getaran seterusnya mengurangkan kadar berlakunya kecederaan di bahagian otak yang lebih sensitif.
“Teknologi terkini ini dapat meningkatkan keupayaan pasukan pembedahan neuro untuk melihat dengan lebih menyeluruh dan jelas bagi membantu membuang tumor kompleks yang mana berada dalam kedudukan sukar dicapai.
“Dengan teknologi ini juga, kita akan mempunyai keupayaan dalam menyediakan rawatan yang lebih efektif dan canggih sekali gus memberi jaminan kepada pesakit bahawa mereka boleh mendapatkan rawatan terbaik di sini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPJBDOSH, Noor Haslina Harun berkata, kepakaran dan perkhidmatan berkaitan neuro itu dilihat mampu menjadi kekuatan KPJBDOSH berikutan rawatan berkenaan jarang ditawarkan di hospital-hospital pakar lain.
Ujarnya, mesin berkenaan beroperasi sejak penghujung 2021 dan telah terlibat melaksanakan lebih 30 pembedahan yang berjaya dengan kadar pemulihan lebih cepat berbanding surgeri menggunakan mesin-mesin surgeri konservatif lain.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor