KERAJAAN JOHOR BERIKHTIAR MENGURANGKAN RISIKO BANJIR


Sumber Unit Media & Komunikasi (Medkom), Pejabat Menteri Besar Johor

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri bersama Pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah dan sedang melaksanakan gerak kerja bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, gerak kerja tersebut dilaksanakan di semua kawasan tumpuan atau ‘hotspot’ sebagai langkah persediaan menghadapi banjir.

“Antara kerja yang telah dilaksanakan termasuk pelebaran sungai; pembinaan kolam takungan banjir jenis OSD atau ‘On Site Detention’; kerja pembaikan, pembersihan sampah serta pendalaman sungai, longkang, saliran dan perparitan.

“(Selain itu) pembinaan tembok longkang; pembinaan ‘weir’ atau tebatan di parit besar; penyelenggaraan, penjagaan dan pembersihan perangkap sampah ‘logboom’ serta kerja naiktaraf parit dan pembinaan pembetung parit bawah tanah,” katanya seperti dipetik dari Facebook rasminya, hari ini.

Onn Hafiz berkata, antara punca utama berlakunya banjir di Johor secara amnya adalah disebabkan gabungan air pasang dan hujan yang lebat yang berlaku secara serentak.

Ujar beliau lagi, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk membela bangsa Johor sekali gus berharap segala inisiatif dan perancangan berterusan itu akan membantu mengurangkan risiko banjir di Johor.

“Terima kasih diucapkan atas kerjasama yang diberikan oleh YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Pegawai Daerah, Datuk-Datuk Bandar dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Majlis bagi setiap PBT di dalam negeri ini,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor