KPT, USIM CADANG BINA HOSPITAL PENGAJAR DI JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendengar cadangan KPT dan USIM mengenai pembinaan kompleks Hospital Pengajar di Kota Tinggi | Sumber foto Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menyambut baik cadangan pembinaan kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Kota Tinggi.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama USIM bercadang membina kompleks hospital tersebut.

 

Menurut beliau, kompleks hospital itu dijangka dapat menampung pesakit sekitar Kota Tinggi, Pengerang dan Bandar Penawar.

 

“Saya dimaklumkan belum ada Hospital Pengajar Universiti di Johor, terutamanya di belah selatan negara dan ditempatkan di kawasan luar bandar.

 

“Dengan adanya pembinaan kompleks Hospital Pengajar USIM ini, semestinya akan membawa limpahan ekonomi di daerah Kota Tinggi, serta kesediaan doktor-doktor pakar di sana,” kata beliau.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor menerima kunjungan Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar bersama delegasi daripada KPT dan USIM.

 

Pertemuan tersebut membawa kepada pemakluman cadangan dan hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai pembinaan kompleks hospital itu.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon.

 

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan cadangan serta pembangunan, terutamanya melibatkan sektor kesihatan awam.

 

“Pihak Kerajaan Negeri akan memperhalusi dan membantu sedaya upaya agar projek ini berjalan lancar,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor