USAHA PULIH BEKALAN ELEKTRIK GIAT DILAKSANAKAN


Masih terdapat kawasan yang belum menerima bekalan elektrik meskipun keadaan banjir di kebanyakan kawasan telah surut, namun usaha memulihkan keadaan sedang giat dilaksanakan | Sumber foto Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 45 kawasan di empat daerah masih belum menerima bekalan elektrik berikutan banjir yang melanda di negeri ini.

 

Daripada jumlah tersebut, 41 kawasan merupakan di daerah Batu Pahat diikuti Muar (2) serta Segamat dan Mersing (1).

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah dimaklumkan supaya membekalkan elektrik kepada kawasan tidak terjejas dan berisiko secepat mungkin.

 

“Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

 

“Saya juga akan memastikan semua bekalan elektrik akan pulih sepenuhnya dalam tempoh masa terdekat. Dengan segala usaha ini dapat membantu dan memudahkan urusan kepada penduduk yang terjejas bencana banjir,” kata beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Mohamad Fazli turut tidak menolak kemungkinan pencawang elektrik masih belum selamat untuk diaktifkan sekiranya banjir di sesuatu kawasan telah surut, namun penduduk belum menerima bekalan.

 

Beliau turut mengingatkan agar orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko selain menJauhi pepasangan elektrik yang terendam dalam air banjir kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor