KSP RMK12: KERAJAAN DENGAR SUARA JOHOR
Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) meliputi 17 anjakan utama dan 71 inisiatif utama yang dibentangkan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam, menghadirkan ‘berita gembira’ dan limpahan manfaat kepada Negeri Johor terutama melibatkan sektor kesihatan.
Bertemakan Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi, KSP RMK12 telah menggariskan usaha bagi menyegerakan projek naik taraf fasa pertama di Hospital Sultanah Aminah (HSA), untuk menangani kesesakan antara hospital awam yang tersibuk di Malaysia.
Dengan kos sebanyak RM500 juta, pengumuman Perdana Menteri ini secara jelas menterjemahkan kepedulian Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan mendesak yang acap kali diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri terutama YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar dan YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor.
Intipati KSP RMK12 yang diumumkan sudah semestinya menghadirkan kelegaan kepada Bangsa Johor dan keseluruhan petugas kesihatan dalam mendepani cabaran infrastruktur serta prasarana demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negeri ini.
Di samping itu, adalah menjadi harapan semoga terdapat klinik kesihatan di Negeri Johor juga tersenarai antara 1,200 klinik daif yang akan dinaik taraf antara tahun 2023 dan 2025 agar rakyat menerima akses kesihatan yang berkualiti serta lebih baik.
Selain itu, KSP RMK12 turut memberikan perhatian kepada sektor pengangkutan yang menyentuh perluasan perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) dan bas dalam bandar termasuklah di Johor Bahru diikuti projek naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru serta pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (dari Yong Peng ke Senai Utara) secara berfasa.
Keutamaan diberikan Kerajaan Perpaduan dalam kajian ini akan meningkatkan kesalinghubungan yang dilihat bukan sahaja penting bagi logistik perniagaan, malah akses dan ketersambungan antara masyarakat berada di bandar dan luar bandar dengan lebih baik dapat dinikmati.
Terakhir, dasar perindustrian mengikuti geografi yang akan diberikan penekanan dengan penyediaan persekitaran yang lebih baik bagi mempertingkatkan pembangunan di kawasan pertumbuhan yang dikenal pasti antaranya Projek Ladang Air Manis di Kulai.
Untuk rekod, Ladang Air Manis merupakan kawasan pertanian atau tanaman dan perladanagan yang melibatkan aktiviti huluan dan hiliran dengan prospek aktiviti yang bersifat kompetitif selain berpotensi mewujudkan kepelbagaian peluang yang memberikan manfaat kepada sekitarannya.
Justeru, KSP RMK12 dengan penetapan siling perbelanjaan RM415 bilion menterjemahkan komitmen dan kesiapsiagaan Kerajaan Persekutuan dalam berhadapan cabaran ekonomi, namun pada masa yang sama memperkukuhkan agenda pembangunan negara dan rakyat ke arah mencapai matlamat Ekonomi MADANI.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor