PENDIDIKAN ISLAM ‘TIANG’ SAHSIAH UMAT ISLAM JOHOR


YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor secara tegas menasihatkan individu atau mana-mana pihak untuk mengamalkan sikap ‘tabayyun’ (semak / periksa / selidik) dalam urusan kehidupan seharian sekali gus menjauhi perbuatan sangkaan buruk terutama kepada orang lain. | Foto MDJ, Nurina Aisyah

 

Sistem pendidikan Islam di Johor lebih sedekad usianya telah menjadi tunjang yang signifikan dalam pembentukan sahsiah umat Islam di negeri ini, selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah. Sehingga kini, Kerajaan Negeri juga terus komited memartabat serta memperkasakan syiar Islam termasuklah menerusi sistem pendidikannya.

 

Kebanyakan umat Islam di Johor menerima pendidikan agama sejak di awal usia antaranya menerusi Tadika Agama Johor (TAJ) diikuti Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) dari Darjah 1 hingga 6, seterusnya digalakkan melanjutkan pengajian ke Darjah Khas. Selain itu, terdapat juga Sekolah Menengah Agama (SMA) yang diselaraskan bersamanya pendidikan silibus kebangsaan.

 

Di peringkat pengajian tinggi pula, anak-anak Johor boleh melanjutkan pengajian ke Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) atau dahulu dikenali dengan Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH). Sistem pendidikan Islam yang holistik dari awal usia hingga dewasa telah disediakan untuk umat Islam di Negeri Johor, yang membuktikan bahawa Bangsa Johor senantiasa mendaulatkan agama suci ini.

 

Justeru, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor secara tegas menasihatkan individu atau mana-mana pihak untuk mengamalkan sikap ‘tabayyun’ (semak / periksa / selidik) dalam urusan kehidupan seharian sekali gus menjauhi perbuatan sangkaan buruk terutama kepada orang lain.

 

Nasihat yang turut memetik Surah Al-Hujurat, Ayat 12, ini susulan komen berbaur jelik pemilik sebuah akaun Facebook mendakwa ‘keluarga besannya’ yang berjudi dan meninggalkan solat seterusnya menzahirkan perbuatan yang ditegah dalam agama Islam tersebut dengan sikap dan perangai masyarakat Melayu di Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor