KUALITI PENDIDIKAN MENJADI KEUTAMAAN


Majlis Apresiasi Warga Pendidik Negeri Johor Tahun 2024 bersempena Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Taman Pulai Emas. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Menyahut titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada Bangsa Johor, Kerajaan Negeri komited dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif serta mesra teknologi selari dengan era pada masa kini.

 

Aspek kemenjadian pelajar dan kebajikan warga pendidik sentiasa diberikan keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan untuk melahirkan generasi berkualiti cemerlang dalam pendidikan serta sahsiah diri.

 

Untuk rekod, sebanyak RM5.9 juta telah diperuntukkan untuk menyediakan persekitaran bilik guru yang selesa kepada 1,193 sekolah sekali gus memanfaatkan kepada 48,500 guru untuk meningkatkan kualiti penyampaian ilmu seperti diumumkan dalam Belanjawan Johor 2024.

 

Selain itu, sebagai menyokong Dasar Pendidikan Digital yang bermatlamat melahirkan pelajar fasih digital dan berdaya saing, sebanyak RM750,000 diperuntukkan untuk program Kelas Bestari Bangsa Johor 2.0 untuk 30 sekolah di luar bandar di mana sekolah yang terpilih dibekalkan papan pintar untuk sesi PdP.

 

Malah, sebanyak 17 sekolah rendah turut menerima manfaat pelaksanaan Kelas Hibrid dengan kemudahan papan pintar dan televisyen pintar yang menggabungkan elemen pembelajaran menggunakan platform secara dalam talian serta bersemuka sekali gus memberikan pengalaman di dalam kelas interaktif dan menarik.

 

Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor hadir ke Majlis Apresiasi Warga Pendidik Negeri Johor Tahun 2024 bersempena Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Taman Pulai Emas.

 

Turut hadir, YBhg. Mohd Hanafi Samad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor; YBhg. Zainal Eran, Pegawai Daerah Pontian serta YBhg. Datuk Yahya Jaafar, Focal Person Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KPIBKS) Kebangsaan dan Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor