HAB HSR FOREST CITY PERKASA JS-SEZ DAN SFZ


Ishmael Ho (kiri) dan Ho Chin Soon menjelaskan tentang penyelidikan yang telah mereka lakukan dari segi nilai pasaran hartanah.

 

Langkah mewujudkan hab atau stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura di Forest City bakal menjadikan kawasan pembangunan tersebut sebagai hab ekonomi selatan Malaysia sekali gus memperkasa inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ).

 

Impak kepada pembinaan HSR perlu dilihat dalam tempoh jangka masa panjang kepada negara ini, jelas Ho Chin Soon Research (HCS), syarikat perunding hartanah tempatan yang turut memainkan peranan dalam perancangan bandar-bandar di Malaysia sejak 36 tahun lalu termasuklah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

 

Perkhidmatan pengangkutan berkenaan merupakan pilihan terbaik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan juga Johor terutama inisiatif JS-SEZ dan SFZ malah selari dengan hasrat YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

 

Kajian HCS turut meletakkan stesen HSR Forest City sebagai satu kawasan penting bagi menjayakan laluan Rel Keretapi Pan Asia menghubungkan kawasan utara Kunming, China dan selatan Jakarta, Indonesia yang membuka pasaran baharu di sepanjang laluan rel berkenaan.

 

Dengan pasaran Indonesia yang mempunyai potensi tinggi didukung jutaan penduduk dan kuasa beli, HCS berharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan perancangan berkenaan secara serius sejajar usaha meningkatkan ekonomi Malaysia dengan mengukuhkan kerjasama bersama Singapura dan Indonesia.

 

Titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu HSR dilaksanakan kerana bakal memberi impak positif terhadap Forest City dan limpahan ekonomi kepada wilayah Iskandar Malaysia itu juga akan menyokong menjayakan pelbagai projek ekonomi berimpak tinggi khususnya JS-SEZ dan SFZ.

 

Pemilihan Forest City sebagai lokasi stesen atau hab akan menjadi pemangkin bukan sahaja dalam aspek ekonomi malah pembinaan infrastruktur serba lengkap dan pelbagai subsektor ekonomi hiliran juga akan memberi manfaat positif kepada penduduk setempat.

 

Selain itu, Forest City mampu menjadi hab pengangkutan utama di rantau ini, dengan mengambil kira pengumuman Kerajaan Negeri berhubung cadangan pembinaan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) atau sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat di Johor Bahru dan kemudahan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor