KUMPULAN PERTAMA ROMBONGAN KERAJAAN JOHOR BERANGKAT KE TANAH SUCI


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyantuni jemaah haji Rombongan Kerajaan Johor yang berangkat ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), dekat Senai, semalam. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

ISKANDAR PUTERI — SERAMAI 142 jemaah haji kumpulan pertama Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) berangkat ke Tanah Suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), dekat Senai, semalam.

 

Majlis pelepasan dan mengucapkan selamat jalan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di pintu dua Balai Berlepas LTAS kira-kira jam 9.30 malam tadi.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor lain; Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman.

 

Sementara itu, Onn Hafiz juga menitipkan doa agar jemaah haji RKJ dikurniakan haji yang mabrur serta selamat dalam perjalanan pergi dan pulang ke tanah air.

 

“Jelas terpancar raut wajah kesyukuran dan kegembiraan yang tiada tara oleh semua jemaah haji. Rukun Islam kelima ini merupakan sebuah anugerah yang tidak ternilai, setiap langkah ke Baitullah memahatkan rasa yang tidak mampu diungkapkan.

 

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji kepada seluruh jemaah haji RKJ. Semoga dikurniakan haji yang mabrur dan diampunkan segala dosa,” tulisnya di Facebook.

 

Terdahulu, duyufurrahman kumpulan pertama itu diberikan taklimat dan penerangan ringkas berkaitan keselamatan perjalanan serta rukun haji oleh Pengurus Ibadah Haji Tanah Air Lembaga TH, Adam Mokhtar.

 

Jumlah keseluruhan jemaah Rombongan Kerajaan Johor pada tahun ini adalah seramai 321 orang dan membabitkan tiga penerbangan dari Senai dan satu penerbangan Kuala Lumpur.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor