KERAJAAN NEGERI CAKNA ISU RUMAH PANGSA AWAM


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor semasa mengadakan lawatan ke rumah pangsa Kenari dan Jentayu di Bandar Baru Kangkar Pulai, semalam. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor akan berusaha meneliti isu rumah pangsa awam di negeri ini, secara berperingkat mengikut bidang kuasa dan kemampuan dimiliki.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, inisiatif itu tetap dilakukan walaupun penyelenggaraan kediaman strata tersebut bukan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

 

Beliau telah mengadakan lawatan ke rumah pangsa Kenari dan Jentayu di Bandar Baru Kangkar Pulai, semalam, bagi meninjau perkembangan terkini kediaman berkenaan.

 

“Rumah pangsa ini merupakan antara rumah pangsa yang telah menerima peruntukkan Kerajaan Negeri di bawah urus tadbir (Menteri Besar Johor) Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menaik taraf parkir,taman permainan, membina perpustakaan dan mengecat 20 blok dengan nilai RM 7 juta melibatkan peruntukan khas Pejabat Menteri Besar dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

 

“Untuk kerja naik taraf parkir, taman permainan dan perpustakaan telah siap sepenuhnya. Kerja-kerja mengecat pula dijangka siap sepenuhnya pada bulan September 2023,” kata beliau dalam Facebook rasminya, semalam.

 

Turut hadir dalam kunjungan tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad serta Datuk Bandar MBIP, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad.

 

Mohd Jafni turut memberitahu pengurusan Jawatankuasa Penduduk di rumah-rumah pangsa yang dikunjungi itu juga boleh dijadikan contoh atas kejayaan menguruskan penyelenggaraan dan pelaksanaan program komuniti bersama penduduk.

 

“Kejayaan komuniti rumah pangsa Kenari ini turut mendapat pengiktirafan di peringkat Komanwel pada tahun 2021 dan mendapat (titah) ucapan tahniah DYMM Tuanku Pemaisuri Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor