LAKUKAN SARINGAN, KESAN AWAL KANSER : MENTERI KESIHATAN


Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berucap sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2023 anjuran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor bertemakan ‘Close The Care Gap’, hari ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Pengesanan awal serta rawatan segera dan berkesan memberi peluang kepada pesakit kanser untuk sembuh.

 

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, sebanyak 63.7 peratus dari keseluruhan kanser dikesan pada tahap yang telah lewat, berdasarkan Laporan Registri Kanser Malaysia.

 

“Ini sebenarnya satu angka yang sangat membimbangkan. Sebab itu kita menyarankan untuk orang ramai datang kepada program saringan. Sebab bila kita buat saringan, kita akan kesan awal dan kita (dapat) mengelakkan diri kita daripada penyakit yang lebih teruk lagi,” kata beliau.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kanser Sedunia anjuran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor bertemakan ‘Close The Care Gap’, hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu; Pengarah Eksekutif YKTLJ, Dato’ Mohamed Perang Musa serta Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ, Mohd Ikmal Izam Zaini.

 

Zaliha turut mengingatkan golongan wanita agar melakukan pemeriksaan payudara selain membuat saringan mammogram serta pap smear di fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara.

 

“Kita kena rapatkan jurang capaian kita kepada perkhidmatan saringan. Pengesanan awal penting, apatah lagi terhadap rawatan dan penjagaan selepas kita dikesan atau didiagnos sebagai pesakit atau pejuang kanser,” kata beliau.

 

Berikutan kos rawatan dan penjagaan pesakit yang membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah, beliau memberitahu Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40).

 

“PeKa B40 membolehkan orang ramai melakukan saringan termasuklah saringan kepada kanser. Ia juga memberi bantuan dari sudut alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan juga insentif tambang pengangkutan. Ini menunjukkan memang kita mengambil berat tentang pesakit yang kurang mampu dan termasuk dalam kumpulan B40,” katanya.

 

Selain itu, Zaliha berkata, dalam usaha pencegahan kanser juga, Kementerian Kesihatan memperkasakan inisiatif dilaksanakan bagi mengurangkan penyakit tersebut antaranya pemberian pelalian Human Papilloma Virus (HPV) kepada pelajar wanita Tingkatan Satu.

 

“HPV adalah vaksin yang kita berikan untuk mengurangkan risiko kanser serviks, memandangkan kanser serviks adalah antara kanser yang utama dalam kalangan wanita. Pastikan anak-anak kita mendapatkan vaksin HPV di sekolah,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor