PELABURAN ATB-VTTI RANCAK EKONOMI JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Tangki Simpanan Bitumen Fasa 3, di Tanjung Bin, Serkat, Pontian, semalam | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam, menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Tangki Simpanan Bitumen Fasa 3, di Tanjung Bin, Serkat, Pontian.

 

Turut bersama dalam majlis tersebut adalah Duta Kerajaan Belanda ke Malaysia, Jacques Werner.

 

Onn Hafiz berkata, ATT Tanjung Bin Sdn Bhd (ATB) memperuntukan RM260 juta untuk projek pembinaan tangki simpanan bitumen itu.

 

Menurut beliau, sebelum ini, ATB telah melabur lebih RM3 bilion di Johor bagi pembangunan fasiliti mereka sejak 2012.

 

“Selain itu, mereka mempunyai kekuatan seramai 100 kakitangan tetap, dan lebih 800 penyedia perkhidmatan, kontraktor dan kakitangan sokongan.

 

“Saya amat berbesar hati melihat syarikat multinasional seperti ATB terus memilih untuk bertapak di Johor sebagai pangkalan hab mereka,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Onn Hafiz turut dimaklumkan ATB bersama rakan strategiknya, Vitol Tank Terminals International B.V (VTTI) mengendalikan produk petroleum untuk pasaran dalam dan luar negara terutamanya Malaysia, Singapura, Indonesia, China, Vietnam, Australia dan beberapa negara lain di rantau Asia Pasifik.

 

“Saya juga difahamkan syarikat ATB-VTTI sedang merancang untuk mengembangkan lagi sektor petroleum kepada tenaga boleh diperbaharui, serta gas asli cecair. Langkah ini dilihat dapat mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pemain utama dalam industri minyak dan gas.

 

“ATB-VTTI juga telah melabur dalam program kelestarian seperti pemasangan kapasiti solar 2 Megawatt dan beberapa inisiatif alam sekitar seperti menanam lebih daripada 10,000 pokok bakau di sepanjang tebing Sungai Pulai,” kata beliau.

 

Justeru, beliau memberitahu amat mengalu-alukan kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan ATB-VTTI dengan harapan dapat merancakkan lagi sektor ekonomi dan pelaburan di negeri ini, seterusnya menggapai agenda menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor