LALUAN ALTERNATIF AKAN DIBINA DI FOREST CITY


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh keadaan jalan di Forest City susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan terbabit. | Foto Ihsan FB Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebuah laluan alternatif sepanjang satu kilometer akan dibina di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas, susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan terbabit.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kerja pembinaan itu akan dilaksanakan oleh pihak Forest City dalam tempoh 48 jam dan dijangka siap pada 26 Julai ini.

 

“Semua pihak dinasihatkan untuk mengurangkan pergerakan keluar masuk ke Forest City buat masa ini dan semua kenderaan berat dilarang (manggunakan jalan berkenaan) sama sekali,” katanya di laman Facebook rasminya, hari ini.

 

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata, jalan keluar dari Forest City akan ditutup sepenuhnya dan menjadikan jalan masuk sebagai laluan kontra untuk dijadikan sebagai laluan keluar dan masuk sementara.

 

Katanya, keputusan ini diambil selepas perbincangan yang diadakan oleh pihaknya bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak pemaju projek terbabit.

 

“Pihak JKR sedang memantau pergerakan tanah di kawasan tersebut dan kajian segera sedang dibuat sebelum apa-apa tindakan selanjutnya dilakukan.

 

“Semua pihak diminta untuk terus mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan yang perlu,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor