TERMINAL LARKIN DIJANGKA BEROPERASI SEPERTI BIASA, ESOK


Keadaan premis perniagaan yang terjejas akibat kejadian kebakaran yang berlaku pagi tadi. | Foto Ihsan FB Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Operasi di dalam bangunan Terminal Bas Larkin Sentral, Johor Bahru dijangka akan beroperasi seperti biasa bermula esok, susulan kejadian kebakaran, pagi tadi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata semua operasi di dalam bangunan dihentikan sementara kecuali pengoperasian bas ekspres diteruskan seperti biasa.

 

“Saya bergegas ke Larkin Sentral setelah mendapat maklumat kebakaran bangunan tersebut yang bermula jam 7:00 pagi. Empat kedai di tingkat satu hangus terbakar.

 

“Syukur tiada sebarang kemalangan melibatkan orang awam dan pihak Bomba mengesahkan sebahagian besar bangunan masih selamat digunakan.

 

“Operasi dalam bangunan dihentikan sementara dan semua operasi bas ekspres diteruskan seperti biasa tetapi secara manual di Platform C dan bas akan menggunakan 11 bay di Plaform C,” katanya di laman Facebook rasminya, hari ini.

 

Perkara itu dikongsikan beliau selepas diberi taklimat oleh pihak Pengurusan Terminal Bas Larkin Sentral mengenai kejadian kebakaran yang turut menjejaskan empat premis di dalam bengunan terbabit.

 

Tambah Mohamad Fazli, bas awam akan beroperasi di Jalan Kenyalang dan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam itu boleh menunggu di pintu masuk kawasan Bay Bas.

 

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pengurusan Terminal Bas Larkin Sentral kerana berjaya mengawal situasi kemalangan dengan baik.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor