LALUAN ALTERNATIF DI FOREST CITY KINI SIAP 40 PERATUS


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata tumpuan utama adalah untuk mengurangkan beban yang ditampung pada struktur jalan sedia ada. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

ISKANDAR PUTERI — Laluan alternatif sepanjang satu kilometer yang sedang dibina susulan kejadian mendapan tanah di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas kini siap 40 peratus.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata tumpuan utama adalah untuk mengurangkan beban yang ditampung pada struktur jalan sedia ada.

 

“Pada masa yang sama, walaupun Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau pergerakan tanah, kita akan pasang ‘sheet pile’ untuk pertahankan struktur jambatan, sementara menunggu laluan alternatif berkenaan siap.

 

“Selepas laluan alternatif siap, kita akan lebihkan penggunaan di laluan ini untuk (membolehkan) pihak berkaitan menjalankan siasatan lanjut terhadap struktur jalan (yang mengalami mendapan),” katanya kepada Media Digital Johor di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Mohamad Fazli mengadakan tinjauan bagi melihat kerja-kerja pembinaan jalan alternatif terbabit bagi membolehkan penduduk dan pengguna di lokasi terbabit sentiasa terhubung dengan kawasan lain.

 

Tambah Fazli, laluan alternatif tersebut dijangka dapat disiapkan menjelang tengah malam esok bagi melancarkan aliran pergerakan penduduk di kawasan itu.

 

“Alhamdulillah, orang ramai juga tidak panik dan mereka faham akan situasi yang berlaku di sini,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor