LANGKAH LUAR BIASA TMJ UBAH LANDSKAP BOLA SEPAK NEGARA – PENYOKONG
Bersetuju atau tidak, era baharu bola sepak moden tanah air telah bermula dengan satu langkah disifatkan sebagai luar biasa direalisasikan oleh seorang insan dengan punya rasa kecintaan dan ketersanggupan yang tinggi terhadap sukan nombor satu dunia ini.
Insan yang dimaksudkan ini adalah DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang telah memberikan segala-galanya untuk melihat berlakunya anjakan terhadap kemajuan bola sepak Negeri Johor dan Malaysia amnya untuk kembali disegani.
Bagi penyokong tegar Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Faiez Abdullah, 52, secara tegas menamakan Tunku Ismail selaku watak utama dan signifikan dalam berlakunya peralihan atau revolusi bola sepak negeri mahupun negara dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Presiden Kelab Penyokong Bolasepak JOHOR Lembah Klang berkata, implikasi daripada visi yang jelas Tunku Mahkota Johor ketika memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini, selain mengemudi JDT sehingga kini telah menuaikan hasil positif terhadap perkembangan semasa skuad Kebangsaan di samping pencapaian luar biasa diraih kelab.
Beliau memberitahu setiap kejayaan diraih oleh skuad Harimau Selatan tidak kira di dalam mahupun di luar padang sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa semakin mustahil untuk disangkal oleh kumpulan ‘pengkritik bebas’ mahupun para ‘haters’.
“Tidak pernah terfikir oleh penyokong-penyokong bola sepak Johor ini bahawa kita (JDT) akan berada di satu tahap tertinggi dalam tempoh masa yang lama. Mengingati semula era 1985, kita pernah berada di puncak (kegemilangan). Kemudian kita sedikit perlahan (prestasi), namun kembali mengecapi kegemilangan pada tahun 1991.
“Tetapi, fenomena dominasi kali ini sangat berbeza. Mungkin boleh kita katakan ia telah bermula pada tahun 2013 walaupun pada ketika itu masih belum berjaya dengan kejuaraan. Tetapi, saya merasakan fenomena (mencipta kejayaan meraih kejuaraan) sudah bermula sejak itu.
“Malah fenomena seperti ini membuatkan saya sendiri begitu teruja apatah lagi dari segi pengurusan yang tidak berkecamuk berbanding pengurusan yang lama sekali gus telah menterjemahkan suatu bentuk pengurusan bola sepak moden bertaraf dunia,” katanya ketika dihubungi Media Digital Johor.
Sementara itu, Farhan Khair, 37 yang lebih mesra dikenali sebagai ‘FK’ di kalangan warganet melontarkan persoalan sama ada peminat pada masa kini sekadar berpuas hati dengan industri bola sepak sebelum ini, atau sehingga Tunku Ismail tampil ke hadapan melakukan perubahan besar.
“Jika dahulu DYAM Tunku Mahkota Johor tidak masuk campur hal bola sepak, adakah kita semua akan merasakan nikmat bola sepak yang sebenar di dalam negara? Mungkin kita masih tenggelam dengan anasir-anasir yang menghancurkan bola sepak sehingga hari ini.
“Sepertimana yang saya ikuti sejak dari mula kelab ini direvolusikan, pemilik kelab letak tepi ego baginda Tunku dan belajar dari mereka yang berilmu dan berpengalaman dalam bidang bola sepak. Selepas itu, baginda Tunku ‘apply’ semua ke dalam kelab sendiri. Hasilnya kita boleh lihat di mana JDT berada sekarang.
“JDT bukanlah serta merta terus berada di tahap tertinggi. Tanyalah semua penyokong, kami semua telah hadap macam-macam dugaan. Daripada tiada apa-apa, hingga menikmati pelbagai kejayaan. Daripada tidak tahu apa-apa tentang hal dalaman bola sepak, sehingga mereka yang tidak minat pun boleh jadi minat. JDT bermula dari bawah, dan JDT tetap akan terus menjadi peneraju dalam bolasepak negara. Itu pasti,” katanya.
Sebagai salah seorang jutaan penyokong skuad Harimau Selatan, beliau merakamkan penghargaan dan penghormatan yang tinggi kepada Tunku Ismail atas kesungguhan menerajui kelab serta pencapaian gemilang JDT sepanjang sedekad ini, di samping tidak pernah berhenti untuk berkongsikan perkembangan JDT kepada peminat setia.
“Sebagai seorang penyokong, saya menjunjung kasih kepada DYAM Tunku Ismail kerana memberi peluang dan berkongsi terus hal-hal berkaitan kelab kepada kami para penyokong. Sikap telus baginda juga membuat penyokong tidak sebarangan menyebarkan khabar angin dengan sewenangnya. Itu juga telah mendidik sikap bersatu hati antara semua penyokong.
“JDT akan terus melakar sejarah. Ya, saya akui akan ada masa kelab bola sepak kesayangan saya ini jatuh. Tetapi saya yakin kejatuhan itu tidak terlalu teruk kerana dengan sikap kepimpinan Tunku Ismail selaku pemilik kelab, kelab kesayangan semua ini akan kekal dalam peta bola sepak negara. Malah akan terus mencipta nama di persada dunia. Dengan izin Yang Maha Esa,” katanya.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor