GAMBUS ‘JOHOR’ HADRAMAUT SEMAKIN LANGKA DENGAN PEREDARAN ZAMAN


Aktivis kesenian Gambus, Halidan Ithnin menunjukkan hasil seni tangan beliau.

Yang Lama dikelek, Yang baharu didukung… itulah yang dialami oleh seni muzik warisan Johor iaitu gambus yang suatu ketika dahulu bukan sekadar menyedapkan halwa telinga yang mendengar tetapi menjadi sebahagian daripada identiti Bangsa Johor.

Alat muzik yang dipercaya berasal dari Hadramaut, satu wilayah yang terletak di negara Yaman itu pernah menjadi kelengkapan penting dalam mendendangkan irama ‘Ghazal’ dan menjadi perencah penting dalam keunikan lenggang lenggok ‘tarian zapin Melayu Johor’.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan irama ini turut mendapat sentuhan daripada istana terutama ketika zaman kegemilangan Kesultanan Johor-Lingga-Riau yang bukan dimainkan terhad kepada golongan bangsawan tetapi juga menjadi keasyikan kepada orang kebanyakan di Johor.

Aktivis kesenian gambus, Halidan Ithnin, berkata gambus bukan sekadar satu alat muzik semata-mata kerana instrumen yang diperbuat daripada kayu ‘Oud’ turut dipersembahkan dengan nilai estetika corak ukiran Melayu Johor.

Gambus adalah sebongkah kayu yang mampu menghasilkan bunyi-bunyian yang mengalunkan pelbagai alat muzik yang indah. Selain ‘Oud’, pelbagai jenis kayu yang lain seperti koko, durian belanda dan beraneka kayu kayan tempatan juga turut digunakan untuk membuat alat muzik persis seperti gitar ini.

“Berbeza dengan peralatan muzik yang lain, gambus ini turut dicipta dengan corak Kemelayuan-Hadramaut Johor hingga mendapat pengiktirafan daripada Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) sebagai milik Negeri Johor, khususnya di daerah Batu Pahat,” katanya.

Mengimbau kembali keterlibatannya dalam seni muzik gambus ini, Halidan yang juga bekas tenaga pengajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berkata, ilmu muzik itu diperolehinya apabila berguru bersama Allahyarham Hassan Othman.

“Arwah yang mesra dengan panggilan Pak Hassan bukan sekadar guru tetapi saya anggap seperti bapa sendiri. Ketika beliau masih hidup, saya selalu bersamanya untuk mencari bahan di mana-mana sahaja seperti di pinggiran kampung atau tepian pantai untuk mencari bahan membuat gambus.”

“Itu membangkitkan rasa cinta saya kepada seni pembuatan gambus. Walaupun tidak mempunyai kebolehan mendalam bermain gambus, tetapi teknik pengukuran dan penilaian yang tepat untuk mencari kualiti bunyi diingini tetap dititikberatkan dalam setiap gambus yang dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata, seni muzik gambus ini sebenarnya tidak mati, cuma ia bergerak secara mendatar berikutan kemunculan pelbagai genre muzik masa kini yang menembusi masyarakat muktakhir ini namun ia tetap mempunyai peminat dan pendengarnya yang setia.

Katanya, sebagai salah satu warisan seni budaya yang mempunyai kaitan dengan Bangsa Johor, pihaknya berharap semangat irama gambus ini akan terus diwarisi menerusi pelbagai usaha termasuklah kursus pembuatan gambus bagi untuk menarik minat generasi baharu supaya irama gambus ini terus diperdengarkan dari satu zaman ke zaman seterusnya.

#MediaDigitalJohor #SahihTepatPantas #MajuJohor