KERAJAAN JOHOR BANTU MANGSA RIBUT


Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed ketika ditemui media selepas mengiringi lawatan Menteri Besar Johor meninjau kediaman yang terjejas, hari ini.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor proaktif dalam menyelaraskan tindakan susulan kejadian ribut yang mengakibatkan kerosakan kediaman di Kampung Melayu Majidee, di sini, semalam.

 

Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed berkata, setakat ini, jumlah kediaman yang terjejas berjumlah 176 buah.

 

Menurutnya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam lawatan ke lokasi kejadian hari ini, telah meminta agar kerja pembaikan kediaman yang rosak dilaksanakan segera.

 

“YAB (Menteri Besar Johor) pun telah bersetuju untuk agensi-agensi yang berkaitan menyalurkan bantuan,” katanya ketika ditemui media selepas mengiringi lawatan Menteri Besar Johor meninjau kediaman yang terjejas, hari ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan lawatan ke lokasi kejadian ribut di Kampung Melayu Majidee.

 

Lawatan tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

 

Muzaldin berkata, sesi townhall melibatkan pemilik kediaman terjejas akan diadakan bagi menerangkan tindakan yang sedang dan akan ambil.

 

Ujarnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama agensi lain berkaitan juga melakukan penilaian terhadap kerosakan kediaman yang dijangka selesai pada hari ini.

 

“Daripada penilaian itu, kita akan kemukakan laporan kepada YAB Menteri Besar untuk melihat berapa keperluan. Setiap rumah itu berbeza pembaikan, dan untuk sumbangan kepada mangsa, kita akan laksana seawalnya hari Isnin atau Selasa,” katanya.

 

Beliau berkata, penilaian dilakukan itu berdasarkan aduan kediaman yang rosak berserta dengan gambar oleh pemilik, untuk ditentusahkan.

 

“Kita (juga) akan lihat dahulu keperluan (menempatkan mangsa di pusat pemindahan sementara. Sebab itu kita adakan sekali lagi sesi townhall petang ini,” kata beliau lagi.

 

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyantuni mangsa ribut.

 

Sementara itu, Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memberikan tindakan dan bantuan awal membantu mangsa.

 

“Terima kasih kepada Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah kerana mengambil satu tindakan yang cukup pantas, menyelaraskan agensi-agensi untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

 

“Dan hari ini, tindakan pantas oleh YAB Menteri Besar Johor dengan mengambil satu pendekatan untuk memberi bantuan awal kepada mangsa ribut semalam,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor