LAWATAN MENTERI BESAR KE PARLIMEN JOHOR BAHRU BAWA KHABAR GEMBIRA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyerahkan peruntukan kepada SMK Bandar Baru Uda | Sumber Facebook Mohd Hairi Mad Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Kunjungan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sempena lawatan kerja ke Parlimen Johor Bahru melibatkan DUN Larkin dan Stulang, semalam, membawa khabar gembira kepada penduduk setempat.

Berkongsi mengenai lawatan kerja tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah yang juga ADUN Larkin.

Beliau berkata, lokasi pertama dikunjungi delegasi Kerajaan Johor adalah Jalan Petaling, dekat Larkin bagi meninjau tapak cadangan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor.

Katanya, delegasi kemudiannya ke majlis penyerahan Sijil Menduduki Rumah Pangsa Aman Larkin yang telah terbengkalai lebih 16 tahun.

“Hari ini, atas perjuangan Tan Sri Shahrir Samad (bekas Ahli Parlimen Johor Bahru) dan kelangsungan yang diteruskan saya sebagai ADUN Larkin, akhirnya berjaya diselesaikan dan siap untuk diduduki,” katanya.

Mohd Hairi berkata, pada majlis sama turut diadakan penyampaian sumbangan van jenazah untuk Masjid Jamek Tun Hussein Onn dan penyerahan peruntukan kerajaan negeri kepada pengurusan Masjid Jamek Bandar Baru Uda, SMK Bandar Baru Uda dan Kuil Sri Sivan.

Katanya lagi, sesi lawatan diteruskan ke Rumah Pangsa Larkin dan Surau Al-Ehsan di Jalan Kenangan sebelum meninjau tapak cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Kurnia dan berakhir dengan majlis ramah mesra di Dewan Sri Stulang.

“Selaku EXCO Kerajaan Negeri dan ADUN Larkin, saya mewakili seluruh rakyat dan kepimpinan di Parlimen Johor Bahru mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Johor atas kesudian hadir dan turut menyatakan usaha beliau yang komited memajukan dan mengubah wajah Johor Bahru.

“Jutaan terima kasih juga kepada semua agensi, jabatan, PBT, pegawai kerajaan, persatuan, NGO, GLC dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam melicinkan dan menjayakan perjalanan sesi lawatan pada petang tadi,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor