SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR RASMI FESTIVAL PESONA YPKDT 25 TAHUN


Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani menyempurnakan perasmian Festival Pesona YPKDT 25 Tahun | Sumber Facebook Khairin-Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani menyempurnakan perasmian Festival Pesona Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) 25 Tahun (FEST 25), semalam.

FEST 25 yang berlangsung sejak 28 Oktober lalu bertempat di Kompleks Sukan EduCity itu merupakan manifestasi kepada pencapaian diraih oleh YPKDT sepanjang 25 tahun penubuhannya terutama dalam agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita di Negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, program selama tiga hari itu berjaya mengumpulkan kehadiran 30,000 pengunjung memeriahkan FEST 25.

“Antara aktiviti sepanjang festival ini adalah pameran dan jualan, Bazar@Suri, perkhidmatan gunting rambut peserta Pemula YPKDT, jualan hasil projek PERKASA YPKDT, seminar kembara keluarga sejahtera, kursus ‘Women’s Income Generating Skills Project’ (WINGS), ‘Pocket Talk’ keusahawanan, Malam YPKDT Berselawat.

“Pelancaran logo baharu YPKDT dan Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Negeri Johor 2022-2031 turut diadakan di mana ia merupakan sebuah pelan hala tuju dan tindakan bagi memperkasa golongan wanita khusus di Negeri Johor bagi tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Selain itu, Khairin-Nisa berkata, turut diadakan penyampaian Anugerah Pesona Wanita Johor di bawah program Pesona Wanita Profesional Johor yang mengiktiraf lima individu dalam pelbagai bidang.

Antara penerima Anugerah Pesona Wanita iaitu Datin Paduka Hazlina Jalil (Pentadbiran); Dr. Shaharom Nor Azian Che Mat Din (Perubatan); S. Gomathy (Pendidikan); Noraini Margono (Keusahawanan); Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin (Sukan) selain Prof. Datuk Dr. Halimaton Hamdan yang menerima Anugerah Utama Pesona Wanita Johor 2022.

“Saya juga berharap agar YPKDT sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor. Tahniah juga saya ucapkan kepada penerima-penerima Anugerah Pesona Wanita,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor