LEBIH 1,500 PESERTA SERTAI PINKTOBER RUN JB 2022


Kemeriahan Larian Pinktober Run JB 2022 yang disertai pelbagai lapisan usia, kaum dan latar belakang | Sumber Persada Johor

 

ISKANDAR PUTERI — Lebih 1,500 peserta terlibat dalam Larian Pinktober Run JB 2022 anjuran Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor) sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, semalam.

Acara bermula 7.30 pagi itu telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Persada Johor, David Emir Bareng bersama Pengurus Besar Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp), Noor Ruzilawati Ruddin serta Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Malaysia, Nazrul Hisham Abdul Hamid.

Bareng berkata, larian sejauh lima kilometer itu bertujuan menyebarkan maklumat dan mewujudkan kesedaran tentang kanser payudara, salah satu kanser paling biasa di kalangan wanita di seluruh dunia.

“Statistik menunjukkan seorang daripada 19 wanita berisiko mendapat kanser payudara.

“Justeru, Persada Johor mengambil peluang dengan menganjurkan larian Pinktober ini bagi mendidik masyarakat untuk memilih gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd Sani berkata, pihaknya komited memberi sokongan program dengan penglibatan komuniti selaras salah satu bidang fokus yayasan iaitu Kesejahteraan Komuniti.

“Sebagai pelaksana aktiviti tanggungjawab korporat Kumpulan JCorp, program-program yang memberi manfaat kepada komuniti seperti ini perlu dianjurkan dengan lebih kerap.

“Pandemik yang melanda negara telah mengajar kita bahawa ‘kesihatan adalah kekayaan’. Justeru, kerjasama di antara semua pihak adalah penting bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat memenuhi objektif yang dihasratkan,” katanya.

Peserta Pinktober memulakan larian dari Persada Johor mengelilingi Pusat Bandar Johor Bahru melibatkan laluan Jalan Abdullah Ibrahim, Jalan Dato’ Dalam, Jalan Md Noor, Jalan Trus, Jalan Salim dan Jalan Ungku Puan.

Acara larian yang mendapat kerjasama JomRun dan disertai peserta berumur dari tiga hingga 72 tahun, disokong oleh Kulim (Malaysia) Berhad, KPJ Healthcare Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd, JLand Group Sdn Bhd, Gafas Media dan Holiday Inn Johor Bahru City Centre.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor