MENTERI BESAR JOHOR TURUN PADANG LIHAT SENDIRI KERJA PEMBAIKAN JALAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau kerja-kerja baikpulih jalan | Sumber Facebook Onn Hafiz

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hari ini, meninjau kerja-kerja baikpulih jalan raya di kawasan Pasir Gudang, Johor Bahru dan Kulai.

Menurut beliau, lawatan turun padang tersebut dilakukan susulan aduan yang diterima olehnya.

“Berdasarkan aduan yang saya terima, petang ini saya turun padang melihat sendiri kerja-kerja pembaikan jalan raya yang sudah dan sedang dilaksana di kawasan Pasir Gudang, Johor Bahru dan Kulai,” katanya di Facebook rasminya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor; Jurutera Daerah Johor Bahru, Nor Zahamawatty Md Desa; Jurutera Daerah Kulai, Ir. Mohd Khairul Khair Shah serta wakil syarikat konsesi.

Onn Hafiz berkata, antara perkara diberikan perhatian adalah kerja ‘resurfacing’ atau penurapan semula jalan raya.

Beliau turut menasihatkan syarikat konsesi untuk memastikan kualiti kerja agar sentiasa terjaga.

“Ini juga termasuk menyelesaikan masalah aliran air tanah yang kerap menjadi punca kerosakan jalan raya, agar keselamatan dan keselesaan pengguna adalah terjamin.

“Insya Allah, kerja-kerja penambahbaikan akan dibuat pada kadar yang segera,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor