LEBIH 3,000 BAKAL MERIAHKAN OCBC CYCLE JOHOR BAHRU 2025 DISEMBER INI

MBJB bakal menganjurkan OCBC Cycle Johor Bahru 2025 pada 14 Disember ini melibatkan penyertaan lebih 3,000 peserta dari dalam dan luar negara, sekali lagi menjadikan Bandar Raya Johor Bahru tumpuan utama peminat sukan berbasikal serantau. | Foto Majlis Bandaraya Johor Bahru
Oleh: NUREEN NATASYA NOOR HASHAIRUL
#IskandarPuteri – Bandar raya Johor Bahru sekali lagi bakal menjadi tumpuan peminat sukan berbasikal serantau apabila lebih 3,000 peserta dijangka menyertai OCBC Cycle Johor Bahru 2025 yang akan berlangsung pada 14 Disember depan.
Acara kayuhan terbesar di selatan tanah air ini dianjurkan oleh Multigreen Events Sdn. Bhd. dengan kerjasama OCBC Bank (Malaysia) Berhad selaku penaja utama.
Bertemakan ‘Let’s Go Cycle’ atau ‘Jom Kayuh’, acara yang pertama kali yang diadakan di Johor sejak kejayaan OCBC Cycle KL pada 2015, ia bukan sekadar aktiviti riadah tetapi juga menjadi platform memperkukuh gaya hidup sihat, amalan lestari dan semangat kebersamaan dalam kalangan Bangsa Johor.
Penganjuran acara ini disifatkan YB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebagai antara langkah penting dalam memperkukuh daya tarikan bandar raya ini, selain ia turut menyokong pembangunan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) menerusi penyertaan peminat sukan berbasikal yang lebih meluas sama ada dari dalam atau luar negara.
Sebanyak dua kategori utama dianjurkan pada OCBC Cycle Johor Bahru 2025 iaitu kayuhan 42 kilometer (KM) untuk penunggang berpengalaman dan kayuhan 21 KM untuk peserta rekreasi, selain kategori berkumpulan kayuhan Datuk Bandar MBJB yang turut melibatkan sepuluh peserta.
Acara kayuhan ini bakal membawa peserta menelusuri beberapa laluan bersejarah bermula di Dataran Bandaraya Johor Bahru. Dari situ, peserta kemudiannya akan melalui kawasan Istana Besar, Bangunan Sultan Ibrahim, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Tokong Cina Lama, Tasek Utara, Laman Mahkota dan Saujana.
Selain itu, OCBC Cycle Johor Bahru 2025 juga turut memperkenalkan kategori ‘push bike’ bagi kanak-kanak berusia tiga hingga sembilan tahun dengan jarak 150 dan 200 meter, sekali gus menjadikan acara ini lebih inklusif dan mesra keluarga.
Pendaftaran acara ini juga sudah dibuka dan mereka yang berminat menyertainya atau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai OCBC Cycle Johor Bahru 2025 boleh berbuat demikian di lawan sesawang www.ocbccyclejb.com. Tarikh tutup pendaftaran ialah pada 12 November 2025.
#OCBCCycleJohorBahru2025
#JohorSafeZone
#OCBCMalaysia
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor