SIRI JELAJAH ‘PENERANGAN’ JALAN TERBAIK MENJELASKAN ISU TANAH KESULTANAN


Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor, Faisal Long berkata, sesi penerangan merupakan jalan terbaik untuk menjelaskan hasrat murni DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar.

 

Oleh Aivizanoorwani Shah, Mohd Firdaus Yon, Badrul Kamal Zakaria dan Imran Razib

 

ISKANDAR PUTERI — Satu siri jelajah penerangan berkaitan kepentingan kawasan penempatan dan rizab Orang Asli yang diletakkan di bawah Tanah Kesultanan, akan diadakan dalam masa terdekat.

 

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor, Faisal Long berkata, sesi tersebut merupakan jalan terbaik untuk menjelaskan hasrat murni DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

 

Menurutnya, pihak JAKOA menjunjung kasih atas titah Baginda Tuanku Sultan selain mengakui tanah merupakan bidang kuasa di bawah kerajaan negeri.

 

“Kita mendengar rintihan mereka. Sudah tentu jalan terbaik adalah, kita akan buat sesi penerangan kenapa DYMM Tuanku sangat ingin menjaga tanah Orang Asli supaya tidak diceroboh dan juga dieksploitasi pihak tertentu,” katanya ketika dihubungi Media Digital Johor, hari ini.

 

Mengulas lanjut mengenai sesi penerangan tersebut, Faisal berkata, JAKOA sebagai jabatan di peringkat Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk bercakap mengenai Enakmen Tanah Kesultanan 1934.

 

“Yang akan bercakap sudah pasti Penasihat Undang-Undang dan juga Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Johor kerana kuasa tanah, kuasa (di bawah) kerajaan negeri. Kita akan buat jelajah untuk memberikan penerangan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

 

Mengenai penyerahan memorandum kepada Menteri Besar Johor, beliau memberitahu terdapat dalam kalangan Orang Asli yang bersetuju dan membantah dengan titah Baginda Tuanku Sultan.

 

”Terdapat di kalangan masyarakat Orang Asli ada yang tidak bersetuju dan ada di kalangan mereka bersetuju dengan titah DYMM Tuanku. Di pihak JAKOA, kami tidak menghalang (menghantar memorandum) kerana kita negara demokrasi. Itu kehendak mereka,” katanya.

 

Terdahulu, DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli diletakkan di bawah Tanah Kesultanan, ketika Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, pada 16 Mac lalu.

 

Titah Baginda Tuanku Sultan itu agar tiada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati terhadap kawasan penempatan dan rizab Orang Asli sekali gus melindungi dan menjaga hak kumpulan masyarakat tersebut.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam kenyataan bertarikh 5 April lalu, memaklumkan mana-mana kawasan diwartakan sebagai Tanah Kesultanan bukan bermaksud tanah itu milik peribadi Baginda Tuanku Sultan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor