‘OTAI’ MASIH BERBISA


Milton Amat (gambar kiri) yang berjaya mengungguli Ledang Climbathon 2024 bagi kategori Lelaki Veteran 14KM & Mahadev Rijal (gambar kanan) memenangi Ledang Climbathon 2024 dalam kategori 21KM. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Usia ternyata bukan penghalang asalkan sahaja ada kemahuan. Itu yang dibuktikan Milton Amat yang berjaya mengungguli Ledang Climbathon 2024 bagi kategori Lelaki Veteran 14 Kilometer (KM) bagi edisi kali ini.

 

Milton yang berasal dari Sabah menamatkan larian dengan catatan 2 jam 28 minit sekali gus membuktikan gelaran ‘The Most Beautiful Thing’ (TMBT) Ultra-Trail Marathon sebanyak tiga kali berturut-turut yang dimilikinya sebelum ini akan terus menjadi motivasi untuk dirinya untuk terus mencabar diri dalam bidang sukan lasak berkenaan.

 

Berkongsi pengalaman dalam kejohanan kali ini, Milton memberitahu, biarpun acara Ledang Climbathon 2024 ini membabitkan jarak pendek namun treknya yang berbukit, basah serta licin disebabkan cuaca hujan menjadikan laluan yang dilalui sangat mencabar hingga beliau turut mengalami sedikit kecederaan ringan.

 

Ujarnya, rintangan yang dilaluinya sepanjang kejohanan ini juga dilihat sebagai medan terbaik dalam melakukan persiapan menjelang Mountain Trusmadi International Climbathon yang akan disertainya di Sabah pada hujung Mei ini melibatkan trek sepanjang 31KM.

 

Sementara itu, Mahadev Rijal, 29, peserta berasal Nepal turut menempa nama apabila sekali lagi memenangi Ledang Climbathon 2024 tetapi kali ini dalam kategori baharu 21KM berbanding acara 14KM yang dijuarainya tahun lalu.

 

Mahadev berkata, laluan trek Gunung Ledang ini sememangnya berliku dan mencabar sehingga beliau pernah tersesat sejauh 8KM dari laluan sebenar, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan sehingga berjaya menamatkan larian di tempat pertama.

 

Seramai 700 peserta menyertai Ledang Climbathon 2024 yang terdiri pelari tempatan dan peserta antarabangsa dari Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Vietnam, Philipina, Jepun, British dan Nepal.

 

Lebih menarik, Ledang Climbathon 2024 bagi edisi kedua ini turut memperkenalkan kategori baharu iaitu kategori lelaki dan perempuan terbuka bagi jarak 21KM yang menjanjikan aksi yang lebih mencabar dan berliku kepada peserta kali ini.

 

#LedangClimbathon2024
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor