MBJB TERUSKAN PROJEK NYAMUK BERWOLBACHIA KAWAL DENGGI


YB Dato’ Mohd Noorazam Osman, Datuk Bandar MBJB yang ditemui pihak media selepas Mesyuarat Penuh MBJB Bil. 4/2024 di Menara MBJB. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Susulan keberkesanan fasa pertama pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai dilaksanakan pada tahun 2022, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) meneruskan inisiatif sama di lokaliti ‘hotspot’ denggi dalam kawasan pentadbirannya.

 

Bagi fasa tersebut, sebanyak tiga juta nyamuk berkenaan telah dilepaskan dan berjaya menurunkan kes demam denggi di kawasan perumahan terbabit sekali gus mendorong untuk dilaksanakan di Flat Sri Orkid, dekat Taman Ehsan Jaya pada tahun ini, sebelum disusuli dengan PPR Sri Stulang.

 

MBJB merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama menjayakan projek nyamuk Aedes berWolbachia dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sejak tahun 2021 dengan memperuntukkan RM350,000 bagi menaik taraf sebuah makmal di Hospital Permai Johor Bahru menjadi makmal Wolbachia.

 

Pada masa sama, JKNJ sedang giat menggerakkan usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pelepasan nyamuk berkenaan dalam usaha menurunkan kes sekali gus memperkukuh aktiviti kawalan denggi di negeri ini, terutama dalam kawasan MBJB yang mengalami peningkatan drastik.

 

Selain itu, MBJB turut mengambil tindakan proaktif dengan melakukan kerja pembersihan semak-samun bagi kawasan tanah kosong serta premis dan kediaman tidak berpenghuni yang dipercayai menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes dan penyakit demam denggi.

 

Bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan tetap dilakukan oleh MBJB dengan mengeluarkan notis amaran sebelum mengenakan caj atas tindakan pembersihan yang diambil terhadap pemilik premis dan kediaman tidak berpenghuni menerusi cukai harta.

 

Perkara tersebut dimaklumkan oleh YB Dato’ Mohd Noorazam Osman, Datuk Bandar MBJB yang ditemui pihak media selepas Mesyuarat Penuh MBJB Bil. 4/2024 di Menara MBJB.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor