LELAKI TEMPATAN DITAHAN BERHUBUNG HANTARAN BERBAUR PENGHINAAN TERHADAP SULTAN JOHOR


Kenyataan media daripada Setiausaha Polis Malaysia, pada sabtu. | Foto Ihsan PDRM.

 

ISKANDAR PUTERI — Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana dipercayai memuat naik dan berkongsi hantaran mengandungi kenyataan berunsur penghinaan terhadap DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di media sosial.

 

Setiausaha Polis Malaysia, Dato’ Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 28 tahun dipercayai pengendali akaun Facebook JDT Fans Club itu ditahan di Alor Setar, Kedah pada 23 Jun lalu.

 

Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit bersama satu kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan.

 

“Orang ramai dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform media sosial sehingga boleh mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci terhadap agama, bangsa, raja dan seumpamanya yang boleh mendatangkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian negara.

 

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu.

 

Noorsiah berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

Ujarnya, permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibenarkan selama tiga hari mulai 24 hingga 26 Jun ini.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor