JKKP JOHOR FOKUS SPP DEMI KEBAJIKAN PEKERJA


Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menekankan aspek pematuhan keselamatan jentera dan pematuhan Prosedur Kerja Selamat (SOP) di tempat kerja di negeri ini. | Foto ihsan DOSH Johor

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menjalankan Penguatkuasaan Berfokus-Sektor Perkhidmatan Pembersihan (PBF-SPP) bagi menekankan aspek pematuhan keselamatan jentera dan pematuhan Prosedur Kerja Selamat (SOP) di tempat kerja di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah, berkata JKKP Negeri Johor ia bagi memastikan majikan terutamanya sektor perkhidmatan pembersihan di negeri ini kekal komited mematuhi setiap keperluan perundangan berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

 

“KKP dilaksanakan bagi melindungi pekerja di tempat kerja daripada berlakunya kemalangan, kecederaan dan kemungkinan risiko pendedahan kepada bahan berbahaya yang tidak diingini.

 

“Bagaimanapun, penerapan amalan Budaya Kerja Selamat dan Sihat juga perlu diaplikasikan kepada pekerja-pekerja menerusi SPP,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, semalam.

 

Mohd Hairi berkata, selain daripada perkhidmatan pembersihan, sektor perkhidmatan lain juga perlu mematuhi keperluan yang sudah ditetapkan mengikut peruntukan yang terdapat dalam perundangan KKP berkenaan.

 

“Pihak majikan harus bertanggungjawab sepenuhnya dan memastikan mereka mengambil langkah yang sewajarnya bagi mengurangkan risiko kemalangan dan di samping itu perlu menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dan selamat.

 

“Tahniah dan syabas buat JKKP Johor yang terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan majikan lebih peka dan tidak mengabaikan keselamatan serta kesihatan pekerja mereka,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor