LIMPAHAN EKONOMI MENANTI PENDUDUK SETEMPAT


Taman Negara Johor Air Terjun Gunung Ledang. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Menjadi antara badan berkanun menerima peruntukan signifikan bagi melaksanakan baik pulih infrastruktur dan prasarana kemudahan di bawah seliaannya, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) bersedia melibatkan pelbagai pihak termasuk industri kecil dan swasta untuk merancakkan lagi usaha menjayakan Tahun Melawat Johor 2026.

 

Ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari 1992, PTNJ telah dipertanggungjawab untuk mengawal selia dan menguruskan enam Taman Negara Johor iaitu Endau-Rompin Peta, Endau-Rompin Selai, Tanjung Piai, Pulau Kukup, Gunung Ledang Lagenda serta Air Terjun Gunung Ledang.

 

Menyedari kerancakan sektor ekopelancongan yang diterjemahkan dengan kehadiran 383,291 pelawat ke Taman Negara Johor direkodkan pada tahun lalu, Taufik Bahar selaku Pengarah PTNJ memberi komitmen untuk berkongsi limpahan ekonomi setempat melalui penerapan elemen pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dibangunkan dalam pelan pengurusan perbadanan itu.

 

Usaha berkenaan antaranya menarik penglibatan masyarakat Orang Asli seperti di Kampung Orang Asli (KOA) Peta yang fasih berbahasa Inggeris berkhidmat sebagai renjer di Taman Negara Johor Endau-Rompin Peta di samping menawarkan pakej penginapan menarik seperti ‘glamping’ kepada pelancong sebagai pendapatan utama.

 

Malah menerusi 11 gerai disediakan oleh PTNJ di Taman Negara Johor Air Terjun Gunung Ledang juga membuka peluang rezeki kepada seorang usahawan tempatan yang menghasilkan menu ‘signature’ jualan air dan aiskrim kelapa ‘homemade’ menjadi rebutan pengunjung sekali gus membuktikan sektor ekopelancongan telah menghadirkan manfaat terhadap sosioekonomi di daerah Tangkak.

 

Melihat keberkesanan pelaksanaan elemen CBT yang diimplementasikan, PTNJ komited memperluaskan secara aktif di Taman Negara Johor Tanjung Piai serta Taman Negara Johor Pulau Kukup yang memberi ruang kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) membuka gerai jualan produk masing-masing menerusi pelbagai program pelancongan dianjurkan.

 

Untuk rekod, kira-kira RM7 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan kerja-kerja pembangunan untuk meningkatkan infrastruktur dan prasarana Taman-Taman Negara Johor di bawah seliaan PTNJ bagi memberi keselesaan kepada 1 juta pengunjung yang disasarkan PTNJ pada Tahun Melawat Johor 2026 dalam Belanjawan Johor 2024.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor