LINDUNGI PENGGUNA ISLAM, JOHOR PERKETAT PENGUATKUASAAN HALAL

Pengguna Islam disarankan menyemak status halal produk dan premis melalui Portal Halal Malaysia JAKIM atau aplikasi Verify Halal. Sebarang keraguan atau aduan boleh disalurkan kepada Bahagian Pengurusan Halal JAINJ di talian 07-207 6360. | Foto hiasan arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus memperkasa pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan piawaian halal serta melindungi kepentingan pengguna Islam susulan kebimbangan berhubung kes rampasan produk daging sejuk beku yang diragui status halalnya di Kawasan Perindustrian Sri Kulai, baru-baru ini.
Menerusi Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Kerajaan Negeri mempergiat pemeriksaan dan pemantauan terhadap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi memastikan setiap produk dan premis yang dipersijilkan mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.
Sehingga November ini, sebanyak 809 pemeriksaan dan pemantauan telah dilaksanakan, dengan 67 SPHM digantung manakala 26 lagi ditarik balik susulan ketidakpatuhan terhadap piawaian halal yang ditetapkan.
Pemeriksaan tersebut merangkumi keseluruhan proses pengendalian makanan berdasarkan kehendak syarak dan prinsip halalan toyyiban termasuk aspek kebersihan, susun atur premis serta pengurusan pekerja bagi memastikan keselamatan dan keyakinan pengguna Islam terus terpelihara.
Usaha penguatkuasaan turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain itu, sebanyak 10 operasi bersepadu telah dilaksanakan bersama agensi berkaitan sehingga 13 November 2026, bagi membanteras kegiatan yang melanggar peraturan pengendalian dan pengedaran makanan sekali gus memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pengguna.
Dalam masa sama, orang ramai khususnya pengguna Islam disarankan supaya menyemak status halal produk dan premis menerusi Portal Halal Malaysia JAKIM atau aplikasi Verify Halal selain menyalurkan sebarang keraguan atau aduan berkaitan penggunaan logo halal dan status pensijilan kepada Bahagian Pengurusan Halal JAINJ menerusi talian 07-207 6360.
#JohorSafeZone
#SPHM
#Halal
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


