LOJI RAWATAN KUMBAHAN BERPUSAT PERTAMA AKAN DIBANGUNKAN : DATUK BANDAR MBPG


Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Dato’ Asman Shah Abd Rahman merasmikan pembangunan loji rawatan kumbahan berpusat di kawasan perindustrian Pasir Gudang. | Foto ihsan Facebook Majlis Bandaraya Pasir Gudang

 

ISKANDAR PUTERI — Pasir Gudang bakal membina sebuah loji rawatan kumbahan berpusat dengan konsep taman industri moden yang pertama di kawasan berkenaan.

 

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Dato’ Asman Shah Abd Rahman, berkata pembangunan loji rawatan kumbahan berpusat ini merupakan satu manifestasi dasar keprihatinan dalam menyokong perancangan pembangunan kawasan Pasir Gudang ke arah bandar raya yang mampan dan dinamik.

 

“Tahniah kepada pihak SJ holdings Sdn Bhd kerana menjadi syarikat yang pertama di Pasir Gudang dalam membina loji rawatan kumbahan berpusat ini.

 

“Sebagai sebuah bandar raya pelabuhan dan industri, pembangunan Pasir Gudang berpegang kepada dasar dan hasrat Kerajaan Negeri melalui konsep Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030,” jelasnya.

 

Terdahulu, Asman Shah menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Rawatan Kumbahan Berpusat SJ Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK).

 

Tambahnya, hasrat Kerajaan Negeri dalam mencapai visi Negeri Berprestasi Tinggi, Bangsa Johor Bestari akan turut merangkumi aspek kelestarian alam sekitar termasuk di kawasan perindustrian di bawah pentadbiran MBPG.

 

“Konsep Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 bukan sahaja meliputi aspek ekonomi malah juga impak alam sekitar.

 

“Pembinaan loji berpusat ini akan melibatkan lapan lot tanah berkeluasan 40 ekar atas pembangunan taman industri bersepadu di sepanjang Jalan keluli 11, di kawasan perindustrian Pasir Gudang ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor