PAJ SUMBANG DUA MESIN DIALISIS


Sumbangan dua mesin dialisis kepada Pusat Dialisis Waqaf An-Nur Pasir Gudang adalah bagi membantu memberikan manfaat kepada pesakit buah pinggang. | Foto MDJ: Ezzaty Ameera Nordin.

 

PASIR GUDANG — Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) menyerahkan sumbangan dua mesin dialisis bernilai RM73,600 kepada Pusat Dialisis Waqaf An-Nur Pasir Gudang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Abdul Malik Ismail memaklumkan penyerahan itu merupakan sumbangan julung kali PAJ berbentuk kemudahan peralatan kesihatan.

 

“Pusat Dialisis Waqaf An-Nur merupakan satu-satunya pusat tumpuan bagi rawatan dialisis bagi warga kawasan Pasir Gudang.

 

“Sumbangan ini merupakan satu usaha untuk membantu memberikan manfaat kepada pesakit kegagalan ginjal peringkat akhir selain dapat mengurangkan masa menunggu penghidap buah pinggang ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Mesin Dialisis kepada Pusat Dialisis Waqaf An-Nur Pasir Gudang, di sini, pada Selasa.

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf An-Nur Pasir Gudang, Bukhari Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Johor Specialist Hospital, Mohd Azhar Abdullah.

 

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Dato’ Asman Shah Abdul Rahman yang hadir menyempurnakan majlis berkata, Johor merupakan negeri kedua tertinggi yang mempunyai jumlah pesakit yang perlu menjalani rawatan dialisis selepas Wilayah Persekutuan.

 

“Maka, saya seru warga Johor untuk terus menjaga kesihatan dan pemakanan kita.

 

“Kemudahan seperti ini amatlah terhad dan sukar didapati. Sehubungan dengan itu, usaha kecil PAJ ini amatlah dipuji dalam membantu penghidap penyakit ini bagi menerima rawatan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor