PENDEDAHAN ASAS PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN BERMULA DI PERINGKAT SEKOLAH


Sebanyak 35 sekolah telah dipilih untuk menyertai program Johor Food Security Hero: Farm To School 2023 berbanding hanya 10 sekolah yang mengikuti program sama pada tahun lalu. | Foto ihsan FB Dato’ Zahari Sarip

 

 

ISKANDAR PUTERI –– Kerajaan Negeri Johor terus komited untuk memperkasa peranannya sebagai bakul dan pengeluar utama bekalan makanan di negara ini menerusi usaha memberi pendedahan asas pertanian di peringkat sekolah.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip.

 

Katanya, sebanyak 35 sekolah telah dipilih untuk menyertai program Johor Food Security Hero: Farm To School 2023 berbanding hanya 10 sekolah yang mengikuti program sama pada tahun lalu.

 

“Ia melibatkan tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Batu Pahat, Kluang dan Muar dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM130,000.

 

“Setiap sekolah akan menerima kit penanaman berserta bekalan input pertanian dan sijil pengiktirafan sekolah angkat daripada Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech),” katanya di laman Facebook rasminya.

 

Terdahulu, beliau merasmikan Program Johor Food Security Hero: Farm To School 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera, Johor Bahru pada Isnin.

 

Hadir sama Pengurus Besar J-Biotech, Shafiei Ahamad dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Sains & Matematik, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Amiruddin Abd Manaf.

 

Zahari turut berharap supaya program tersebut dapat dimanfaatkan oleh pihak sekolah terutamanya di dalam memberi pendedahan asas pertanian kepada warga sekolah khususnya para pelajar.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor