LONJAK JOHOR SEBAGAI HAB PUSAT DATA TERBESAR NEGARA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyempurnakan perasmian Bridge Data Centres di KIDEX, Sedenak, semalam

 

ISKANDAR PUTERI — Pelaburan Bridge Data Centres di Kulai Iskandar Data Exchange (KIDEX), dekat Sedenak mampu bantu melonjakkan Johor sebagai hab pusat data terbesar di Malaysia.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, malah pelaburan pusat data fasa pertama itu juga berkemungkinan menjadikan negeri ini hab pusat data terbesar di rantau Asia Tenggara.

“Selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi kepada rakyat Johor, projek ini juga mampu bantu melonjakkan Johor sebagai hab pusat data terbesar di dalam negara dan mungkin di rantau Asia Tenggara,” katanya selepas merasmikan fasa pertama Bridge Data Centres di KIDEX, Sedenak, semalam.

Onn Hafiz turut akui teruja berikutan pelanggan pertama pusat data tersebut merupakan syarikat induk aplikasi TikTok yang memiliki pengguna di seluruh dunia iaitu Byte Dance.

Selain itu, beliau berkesempatan melawat pencawang masuk utama Sedenak oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang siap dibina awal dan kita membekalkan elektrik kepada pelabur di sekitar kawasan KIDEX.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Salleh.

Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan Johor Land Bhd, Datuk Sr. Akmal Ahmad; Ketua Eksekutif IRDA, Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim; Ketua Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ts. Mahadhir Aziz serta Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor