MAINJ BANTU LIMA ASNAF DI TANGKAK

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor merasmikan Perusahaan Gunting Rambut Projek Pembangunan Asnaf 2.0 MAINJ Daerah Tangkak. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#Tangkak – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) terus komited mengangkat martabat golongan asnaf di negeri ini, dengan menjayakan perusahaan gunting rambut di bawah Projek Pembangunan Asnaf 2.0 Daerah Tangkak.

 

Dengan kerjasama Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) selaku agensi pelaksana dan pemantau, projek kedai gunting rambut berkenaan membabitkan lima asnaf dan seorang mentor yang berpengalaman selama tujuh tahun dalam bidang tersebut.

 

Melibatkan kos keseluruhan projek bernilai RM55,000 merangkumi penyediaan tempat perniagaan dan latihan serta promosi, MAINJ memperuntukkan RM50,000, manakala selebihnya iaitu RM5,000 pula adalah kos pengurusan PUJB.

 

Industri gunting rambut dipilih sebagai fokus projek kerana bersifat modal yang rendah, tinggi permintaan, mudah dipelajari, memberikan hasil cepat dan berterusan selain sesuai untuk semua peringkat umur yang berpotensi membina kerjaya stabil.

 

Pada majlis sama, turut disampaikan sumbangan manfaat Takaful Kasih Plus Agrobank berjumlah RM11,000 kepada waris penerima bantuan bulanan MAINJ yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya diikuti sumbangan MAINJ bagi bantuan perubatan kanser hati berjumlah RM86,000 dan bantuan perubatan pelbagai iaitu kaki palsu bernilai RM3,990.

 

Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyempurnakan perasmian Perusahaan Gunting Rambut Projek Pembangunan Asnaf 2.0 MAINJ Daerah Tangkak, hari ini.

 

#MAINJ
#Tangkak
#ProjekPembangunanAsnaf2.0
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor