MAINJ MENANDATANGANI HUJAH WAKAF BERSAMA JCORP, PERTUBUHAN DARUL HANAN


Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) diwakili penasihatnya, Dato’ (Dr.) Nooh Gadot menandatangani hujah wakaf melibatkan tapak tanah dan bangunan Pertubuhan Darul Hanan dekat Pasir Gudang. | Sumber foto: Facebook Mohd Fared Mohd Khalid.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menandatangani hujah wakaf melibatkan tapak tanah dan bangunan Pertubuhan Darul Hanan, dekat Pasir Gudang.

 

Hujah wakaf itu ditandatangani oleh MAINJ diwakili penasihatnya, Dato’ (Dr.) Nooh Gadot bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim serta Pengerusi dan Pengasas Pertubuhan Darul Hanan, Puan Sri Noorzilah Mohammad Ali.

 

Hadir menyaksikan majlis menandatangani hujah wakaf antara MAINJ dengan JCorp dan Pertubuhan Darul Hanan adalah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, semalam.

 

Mohd Fared berkata, keluasan tanah diwakafkan adalah empat ekar berhampiran Masjid Jamek Pasir Gudang yang dikurniakan oleh Kerajaan Negeri melalui JCorp.

 

“Rumah kebajikan yang sudah berbakti sejak 1992 ini turut menerima sumbangan dan dana awam bagi maksud pengoperasiannya.

 

“Tahniah, ia selari dengan hasrat (agenda) MajuJohor yang menekankan aspek kemajuan tidak hanya kepada pembangunan fizikal, tapi menjurus juga kepada kemanusian dan kemasyarakatan,” katanya.

 

Mohd Fared turut berkongsi sejarah Pertubuhan Darul Hanan di mana idea penubuhan dicetuskan oleh Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim suami kepada pengerusi dan pengasasnnya.

 

“Allahyarham merupakan Presiden dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ) yang kini dikenali sebagai JCorp.

 

“Penubuhan ini bertujuan menempatkan anak-anak yatim dan anak anak yang kurang bernasib baik khasnya di Pasir Gudang,” katanya.

 

Selain berstatus badan bukan kerajaan (NGO), beliau berkata, pertubuhan dikelolakan perkumpulan wanita melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menjadi rumah kebajikan bagi anak yatim dan mereka tidak berkemampuan dengan menyediakan penempatan dan perlindungan yang turut memberikan keutamaan kepada pendidikan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor