MAINJ PERKASA EKONOMI ASNAF WANITA MELALUI SPA MUSLIMAH

YB Dato’ Dr. Aman Rabu, Ahli Majlis MAINJ selaku wakil rasmi YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyempurnakan Majlis Perasmian Spa Muslimah bagi Program Pelan Pembangunan Asnaf Daerah Batu Pahat. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#BatuPahat – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerusi Program Pelan Pembangunan Asnaf Daerah Batu Pahat memperkasakan asnaf dengan membantu golongan berkenaan menjana pendapatan Projek Spa Muslimah.

 

Sebanyak RM58,000 diperuntukkan oleh MAINJ bagi melaksanakan projek yang ditempatkan di bangunan Baitulmal sekali gus mencerminkan komitmen memanfaatkan sepenuhnya aset wakaf dan baitulmal untuk kegunaan masyarakat terutama asnaf.

 

Seramai lima asnaf telah terpilih sebagai peserta dan menjalani kursus daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) supaya menerima pendedahan menyeluruh serta lebih bersedia untuk memberikan perkhidmatan rawatan dan penjagaan wanita yang berkualiti kepada pelanggan.

 

Pada majlis sama, turut berlangsungnya penyampaian pelbagai bantuan MAINJ antaranya bantuan pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) berjumlah RM1,500 bagi Ijazah Sarjana Muda, Diploma (RM1,000) dan sijil (RM500) serta bantuan perubatan sebanyak RM61,391.

 

Selain itu, bantuan usahawan sebanyak RM32,081, penyerahan Zakat Perniagaan Tahun 2025 oleh Klinik Sharifah Fadzlon berjumlah RM4,000 yang diterima oleh MAINJ serta sumbangan khairat kematian sebanyak RM2,000.

 

Terdahulu, YB Dato’ Dr. Aman Rabu, Ahli Majlis MAINJ selaku wakil rasmi YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyempurnakan Majlis Perasmian Spa Muslimah bagi Program Pelan Pembangunan Asnaf Daerah Batu Pahat di Bangunan Baitumal, Kampung Kenangan Dato Onn.

 

#MAINJ
#ProjekPembangunanAsnaf2.0
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor