MAINJ PERLUAS HEBAHAN ZAKAT MENERUSI PENGANGKUTAN AWAM

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor diiringi YBhg. Tuan Hasrin Kamal Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ menyempurnakan gimik pelancaran hebahan zakat melalui pengangkutan awam. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperhebatkan usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menunaikan zakat menerusi hebahan dengan menggunakan medium pengangkutan awam di negeri ini, sempena sambutan 100 tahun penubuhannya.
Inisiatif sejak tahun 2018 melalui kerjasama Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) itu memberikan impak positif apabila lebih RM412 juta kutipan zakat iaitu peningkatan sebanyak 7.78 peratus bagi tahun 2024 berjaya direkodkan berbanding tahun sebelumnya.
Hebahan zakat menerusi pengangkutan awam diteruskan dengan paparan reka bentuk grafik khas informasi termasuk kod QR untuk memudahkan orang ramai mengakses laman sesawang sistem bersepadu MAINJ (eMAIJ) melibatkan 25 teksi beroperasi di Johor Bahru dan Kulai.
Dengan mengimbas kod QR dipaparkan, orang ramai dihubungkan ke platform dalam talian untuk melakukan pembayaran zakat, wakaf dan Baitulmal dengan lebih cepat dan efisien sekali gus menjadikan teksi medium promosi bergerak yang praktikal serta mesra pengguna.
Untuk rekod, setakat bulan Mei lalu, kutipan zakat telah mencapai kira-kira RM208 juta menunjukkan sambutan positif daripada masyarakat Islam di negeri ini, sekali gus memperkukuh keupayaan agihan kepada golongan asnaf dan penerima yang layak secara lebih menyeluruh.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor diiringi YBhg. Tuan Hasrin Kamal Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ menyempurnakan gimik pelancaran hebahan zakat melalui pengangkutan awam, hari ini.
Hadir sama, YB Dato’ Dr. Nooh Gadot, Penasihat MAINJ; YBhg. Tuan Shafiei Ahamad, Ketua Pegawai Eksekutif PAJ dan Tuan A. Rahman Arif, Presiden Gabungan Persatuan Teksi Berdaftar (GAPET) Johor Bahru.
#ZakatJohor
#MAINJ100Tahun
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor